Listen

Description

𝗔𝗞𝗜𝗕𝗔𝗧 𝗕𝗘𝗥𝗠𝗨𝗞𝗔-𝗠𝗨𝗞𝗔 𝗗𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗕𝗘𝗥𝗔𝗚𝗔𝗠𝗔 : 𝗥𝗘𝗙𝗟𝗘𝗞𝗦𝗜 𝗗𝗔𝗥𝗜 𝗜𝗥𝗘𝗟𝗔𝗡𝗗 𝗞𝗘 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗬𝗦𝗜𝗔

Sebagai seorang Muslim Melayu yang menetap di Republic of Ireland, banyak pelajaran dapat diambil daripada situasi sosio-agama di negara ini. Ireland, yang dahulunya dikenali sebagai negara Katolik yang kuat, kini menyaksikan peralihan di mana ramai rakyatnya meninggalkan tradisi keagamaan. Ini terutamanya disebabkan oleh salah laku yang dilakukan oleh orang-orang agama dalam institusi yang diamanahkan kepada mereka seperti gereja, sekolah, dan hospital.

Salah laku ini, termasuk penderaan seksual dan penjualan anak-anak yang dilahirkan di luar nikah, telah menghakis kepercayaan terhadap orang agama dan institusi agama. Semasa orang ramai mengadu dan mendesak penyelesaian, suara mereka ditekan. Pendekatan yang lebih diutamakan adalah menggunakan undang-undang serta penguatkuasaan untuk damage control, mengawal naratif, malah mendiamkan suara yang menyoal.

Refleksi ini membawa kita kepada situasi di Malaysia. Hari ini, orang kita semakin agresif dalam beragama, kurang upaya toleransi dan merosot harmoni antara kaum dan agama. Ayat-ayat golongan anti Muslim dan anti pendatang di sini pakai untuk mengacau bilaukan masyarakat, menjadi ayat sama yang orang kita pakai terhadap orang yang tidak sebangsa, seagama dan seasal usul kita.

Sedangkan Malaysia bertuah menjadi sebuah negara majmuk. Kemajmukan itu adalah karakter masyarakat Muslim di zaman Nabi Muhammad ﷺ. Dalam satu keluarga, ada adik beradik lain agama, jiran tetangga berbeza agama, malah bangsa asing turut menjadi sebahagian daripada kehidupan bermasyarakat. Ia memberi peluang kita menghayati model sebenar yang ditampilkan oleh sirah baginda, berbanding masyarakat yang solid 'kita-kita aje'.

𝗦𝗲𝗹𝗲𝘀𝗮𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗠𝗮𝘀𝗮𝗹𝗮𝗵 𝗗𝗮𝗹𝗮𝗺𝗮𝗻

Jangan kita terbiasa menyorokkan masalah dalaman, sebaliknya selesaikan ia dengan jujur.

Iblis berkata:

" Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan cantikkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan sesatkan mereka semuanya. Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hamba-Mu yang ikhlas". (al-Hijr 15: 39-40)

Satu-satunya jenis manusia yang terselamat daripada racun Iblis adalah manusia yang ikhlas dalam beragama. Keikhlasan dalam beragama jauh daripada sibuk menjaga imej luaran, tetapi lebih kepada memastikan amalan dan tindakan luar dalam kita selari dengan ajaran agama yang sebenar.

Ikhlas dalam beragama menjadikan kita mengutamakan substance berbanding form. Kita lebih bersungguh menyelesaikan masalah sebenar, berbanding menyembunyikan demi menjaga maruah dan air muka. Ikhlas juga menjadikan kita bertindak seperti yang sepatutnya, bukan menunggu satu-satu perkara viral baru tergerak. Seolah-olah persepsi manusia lebih dibimbangkan berbanding reda dan murka Allah.

Jangan kita jadi manusia yang kalau buat benda salah kita tidak kisah, tapi kalau benda salah yang kita buat itu orang cakap, kita marah.

Ia merosakkan diri dan masyarakat seluruhnya.

Jangan ulang kesilapan yang ibrahnya sudah terbentang di depan mata semua.

Sebelum terlambat.

#saifulislamdotcom #ustazhasrizal #hasrizalabduljamil #hasrizal #pendidikanjalanislah #pendidikanfatamorgana #pendidikaninklusif #jomkeireland