Orang yang berhijrah ke negara lain tidak sayangkan tanahairnya, tidak patriotik, malah pengkhianat!
Benarkah begitu?
Kata orang putih, "love is a verb". Cinta itu adalah kata perbuatan. Cinta tidak punya apa-apa makna jika ia hanya slogan kosong dan sentimen membuta tuli semata-mata. Memang benar, setiap orang yang berhijrah itu ada sebab-sebab peribadi masing-masing. Tetapi itu tidak bermaksud mereka tidak sayangkan tanahair.
Sayangkan seseorang, kita buat benda yang memberi manfaat dan kegembiraan kepada orang itu. Jika kita sayangkan negara, kita buat benda-benda yang mendatangkan manfaat kepada orang sekeliling kita, kepada negara. Tanya diri masing-masing, apakah yang aku buat setiap hari?
Pada masa yang sama, cinta boleh terluka jika insan yang kita sayang membuat perkara yang memalukan dan melukakan hati kita. Demikian juga rasa sayang kepada negara. Ia akan terluka apabila negara dibelenggu korupsi dan hal-hal yang mengaibkan. Apatah lagi, selepas menjadi buah mulut dunia, kita belum menampakkan kesungguhan untuk membanterasnya.
Semoga saya tetap menjadi seorang insan yang bermanfaat untuk tanahairnya walaupun berada jauh entah di mana. Ilmu yang dipelajari, diamal, dikongsi, buku yang ditulis, dua buah 'model school' yang diperjuangkan, semuanya demi pesan Nabi saya, Nabi Muhammad ﷺ bahawa:
خيرُ الناسَ أنفعُهُمْ لِلناسِ
"Sebaik-baik manusia, ialah manusia yang bermanfaat kepada orang ramai."
Ikhlaskan hati memberi makna cinta kepada negara dengan memberi fokus kepada amal sendiri, kerana satu hari kita akan berhijrah meninggalkan tanah air itu. Di bumi mana entah, tetapi kita akan dikuburkan. Di dalam kubur, kita tidak akan ditanya tentang amal orang lain. Sebaliknya kita akan disoal tentang amalan diri masing-masing, oleh Tuhan yang buat kita.
Selamat menyambut hari kemerdekaan ke-66.
Hasrizal
Ireland 31 Ogos 2023
📌
Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menyokong usaha-usaha pendidikan di platform media sosial saya.