Podcast ini adalah ulasan ringkas merujuk kisah perdebatan antara Fynn Jamal dan Caprice mengenai jenayah kes rogol. Banyak nasihat yang Fynn Jamal kongsikan itu bagus dan perlu diberi perhatian bagi penambahbaikan diri kita semua. Bahagian yang perlu diperbaiki ialah korelasi antara gagal mengamalkannya secara sempurna, dengan terjadinya jenayah rogol. Ia dibelenggu pelbagai falasi dalam berbahas. Ada slippery slope, post hoc ergo propter hoc, hasty generalisation hingga berputar-putar menjadi circular argument.
Kecacatan proses mantiq dalam mengulas hukum.
Saya sendiri, walaupun berkelulusan bidang Syariah untuk sarjana muda, saya tidak fikir saya ahli untuk berbicara mengenai aplikasi hukum jenayah rogol itu sendiri. Namun, ilmu yang serba sedikit pernah dipelajari cukuplah untuk menyuluh saya di mana daerah yang saya tahu dan mana yang saya kena belajar lagi.
Panduan di media sosial ialah: yang arif bukan yang viral. Yang arif adalah yang ahli. Cari ahli berkenaan, bukan rujuk sesiapa yang viral, termasuk saya sendiri.
Sebab itu vlog berkenaan bukan bermaksud mengupas hal hukum hakam Fiqh Islam. Ia hanya tazkirah untuk kita menjauhkan diri daripada menzalimi agama kita sendiri tanpa sedar dek kegagalan kita bergerak hanya di bawah sinar lampu yang terbatas semasa dunia pengetahuan kita masih malam.
Kegelapan malam akan dicerahkan oleh matahari.
Tetapi kegelapan akal fikiran kita hanya boleh disingkap setapak demi setapak dengan ilmu.
Bahagian yang masih gelap, jangan redah tanpa cahaya. Netizens juga perlu mengekang lidah daripada mengumpat dan memburukkan sesama kita. Hakikatnya kita semua masih jahil dan perlu sibukkan diri dengan ilmu, bukan dengan isu.
Ilmu itu cahaya.
Isu hanya membuang masa.
Amal kebajikan sentiasa berguna.