𝗕𝗲𝗿𝗽𝘂𝗮𝘀𝗮 𝗣𝗮𝗻𝗷𝗮𝗻𝗴 𝗱𝗶 𝗞𝗮𝘄𝗮𝘀𝗮𝗻 𝗘𝗸𝘀𝘁𝗿𝗶𝗺: 𝗞𝗲𝗺𝘂𝗱𝗮𝗵𝗮𝗻 𝗮𝘁𝗮𝘂 𝗠𝗲𝗺𝘂𝗱𝗮𝗵-𝗺𝘂𝗱𝗮𝗵𝗸𝗮𝗻?
Pada tahun ini, perbincangan mengenai lokasi umat Islam yang akan berpuasa paling panjang di dunia sepatutnya tidak timbul kerana bulan Ramadan jatuh pada bulan Mac. Ini menyebabkan mereka yang berada di hemisfera utara dan selatan tidak lagi mengalami situasi ekstrim seperti berpuasa terlalu pendek pada musim sejuk atau terlalu panjang pada musim panas. Namun, perbincangan ini masih berterusan dan tersebar luas. Isu ini menarik minat ramai, terutamanya bagi mereka yang tidak mengalaminya tetapi ingin mengetahui lebih lanjut.
Apa yang menjadi kebimbangan adalah perbincangan ini sering membawa kepada kefahaman yang tidak selari dengan semangat syariat Islam dan hukum fiqh.
Terdapat kecenderungan di dalam masyarakat kita untuk menganggap bahawa memilih kemudahan dalam beragama bermaksud seseorang itu kurang berpegang kepada Islam. Malah terlanjur pula melabel sebagai bersikap liberal. Sebagai contoh, dalam isu musafir yang melakukan perjalanan untuk tujuan maksiat, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mengenai kebolehan mereka untuk menjamak dan mengqasarkan solat. Sebahagian ulama berpendapat bahawa syarat musafir tidak bergantung kepada tujuan perjalanan tetapi hanya kepada hakikat perjalanan itu sendiri. Pendapat ini bukan datang daripada ulama yang ingin mempermudah-mudahkan agama, jauh sekali ‘ulama liberal!
Tetapi ia berdasarkan prinsip fiqh bahawa hukum yang bersumber daripada nas umum tidak boleh dikhususkan kecuali ada dalil lain yang mengkhususkannya.
𝗖𝗮𝗯𝗮𝗿𝗮𝗻 𝗕𝗲𝗿𝗽𝘂𝗮𝘀𝗮 𝗱𝗶 𝗞𝗮𝘄𝗮𝘀𝗮𝗻 𝗘𝗸𝘀𝘁𝗿𝗶𝗺
Dalam konteks puasa di bulan Ramadan, khususnya di kawasan yang mengalami siang yang sangat panjang, terdapat pelbagai fatwa yang dikeluarkan.
Sebahagian ulama berpandangan bahawa waktu puasa harus tetap bermula dari fajar hingga terbenam matahari, walaupun tempohnya mencapai 23 jam. Namun, realitinya, mereka yang berpuasa dalam tempoh yang panjang ini menghadapi kesulitan yang besar, terutamanya golongan yang kurang berdaya seperti wanita, orang tua, dan kanak-kanak. Malah, terdapat kes di mana anak-anak mengalami kemudaratan sehingga menimbulkan isu di sekolah dan media.
Itu antara senario yang saya sekeluarga sendiri alami selama kami bermastautin di Oulu Finland, antara tahun 2016 hingga 2020.
Sebaliknya, beberapa ulama kontemporari telah memberikan pandangan yang lebih sesuai dengan situasi di kawasan ekstrim ini. Antaranya ialah Prof. Muhammad Hamidullah, yang berpandangan bahawa bagi mereka yang berada di kawasan 45 darjah utara atau lebih, mereka boleh berpuasa mengikut waktu Mekah atau bandar Islam yang berdekatan dengan tempoh puasa yang lebih munasabah. Satu lagi pandangan adalah untuk menetapkan tempoh maksimum puasa kepada 16 jam. Pandangan lain yang dikemukakan oleh Prof. Dr. Jasir Audah pula menetapkan bahawa bagi kawasan yang berada lebih daripada 48 darjah utara, di mana malam tidak mengalami kegelapan sempurna, tempoh puasa maksimum sepatutnya tidak melebihi 18 jam.
Terdapat juga ulama yang berpegang kepada pandangan bahawa sekiranya puasa menjadi terlalu berat, maka umat Islam boleh mengambil rukhsah (keringanan) dengan berbuka dan menggantikannya di luar bulan Ramadan. Namun, pandangan ini tidak terpakai bagi mereka yang menetap secara tetap di kawasan ekstrim ini.
𝗞𝗲𝘀𝗶𝗺𝗽𝘂𝗹𝗮𝗻
Nilai sesuatu amalan di sisi Allah SWT bergantung kepada keikhlasan dan ketakwaan, bukan kepada tahap kesukarannya. Islam tidak mengukur kehebatan ibadah melalui kepayahan, tetapi melalui kemampuannya untuk meningkatkan iman. Dengan memahami prinsip ini, kita dapat mengamalkan Islam dengan lebih lestari dan sesuai dengan fitrah manusia.
Artikel penuh di https://saifulislam.com/berpuasa-panjang-di-kawasan-ekstrim-kemudahan-atau-memudah-mudahkan