Listen

Description

Walaupun perbincangan mengenai kesihatan mental semakin baik kebelakangan ini, reaksi daripada kita umat Islam masih tidak begitu menggalakkan. Sebahagian menganggap ia sebagai simptom kelemahan iman. Manakala sebahagian lain pula menafikan peranan intervensi sama ada dalam bentuk terapi mahu pun perubatan. Isu kesihatan mental dianggap sesetengah sebagai rekaan 'Barat'.  Islam telah menyediakan dasar yang amat kukuh untuk menggarap isu kesihatan mental secara positif, saintifik dan Rabbani.  

Manusia, pancainderanya, apa yang dialami, adalah sebahagian daripada hakikat kejadian manusia yang dicipta oleh Penciptanya (al-Nisa' 4:28). 

Apabila kelemahan itu merupakan ciri semulajadi manusia yang Allah jadikan, maka ia menjadi premis penting untuk kita melihat penyakit, gangguan dan komorbiditi bukan sebagai bala, sial, karma atau hukuman, sebaliknya hadir dengan hikmah.  Musibah hadir UNTUK kita, bukannya perkara negatif ke atas diri kita (al-Taubah 9:51).

Emosi yang bersangatan hingga ke peringkat menjejaskan fizikal adalah sesuatu yang boleh dialami oleh manusia, termasuk para Rasul yang ulul azmi. Perhatikan apa yang terjadi kepada Nabi Ya'qub alayhi al-salam tatkala menanggung kesedihan yang kronik dan mendalam akibat berita sedih yang menimpa anakanda baginda, Yusuf alayhi al-salam (Yusuf 12:84). Kalaulah kesedihan hingga mata menjadi putih hilang penglihatan itu langsung sahaja dianggap dosa dan mazmumah, mana mungkin ia disandarkan kepada Yaaqub, seorang Rasul, yang maksum?

Penentangan terhadap dakwah dan caci nista yang dituju kepada Baginda Nabi Muhammad ﷺ  juga jangan kita sewenang-wenangnya menganggap ia perkara biasa hingga terlupa menyelami apa emosi Baginda akibat hal berkenaan. Allah mengingatkan:

  فَلَعَلَّكَ بَـٰخِعٌۭ نَّفْسَكَ عَلَىٰٓ ءَاثَـٰرِهِمْ إِن لَّمْ يُؤْمِنُوا۟ بِهَـٰذَا ٱلْحَدِيثِ أَسَفًا   

Maka janganlah pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini. (al-Kahf 18:6). Pesanan yang sama juga ada disebut di (Fatir 35:8).

Baginda Rasulullah ﷺ  juga mengajar kita strategi menguruskan kemarahan seperti mengawal marah semasa berpuasa, mengubah posisi antara duduk, berdiri dan berbaring serta mengambil wudhu'. 

Selain baginda sendiri, para sahabat juga ingat mengingatkan sesama mereka andai ada yang tersilap membuat pilihan, seperti nasihat Salman kepada Abu Darda' radiyallahu anhuma apabila beliau melakukan ibadah melampaui kesejahteraan dirinya. Lihat Riyad as-Salihin 149 https://sunnah.com/riyadussalihin:149.  

Tidak terhenti setakat strategi demikian, Aisyah radhiyallahu 'anha yang mahir tentang ramuan ubat-ubatan, menyediakan ramuan Talbinah yang dituang ke atas Tharid. Beliau memberinya kepada seorang wanita yang sangat berdukacita dengan kematian ahli keluarganya dan kata Aisyah:

  فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ‏ : التَّلْبِينَةُ مَجَمَّةٌ لِفُؤَادِ الْمَرِيضِ، تَذْهَبُ بِبَعْضِ الْحُزْنِ ‏  

Aku mendengar Rasulullah ﷺ  berpesan bahawa talbinah menenangkan hati orang yang sakit dan menghilang sebahagian kesedihan yang dialami. (Sahih al-Bukhari 5417)

Semoga kita lebih positif pada menguruskan isu kesihatan mental dan emosi kerana ia adalah sebahagian daripada hakikat kita yang Allah cipta, sebagaimana suluhan al-Quran, al-Sunnah dan dikemaskan oleh penyelidikan saintifik masa kini, amin.