Listen

Description

Meneladani kisah Ibrahim 'alayhi al-salam di dalam surah al-Saffat ayat 102 di dalam Khutbah Aidiladha oleh Sheikh Hussain Halawa, Imam Islamic Cultural Centre Ireland (Masjid Clonskeagh), Dublin, pada pagi Sabtu, 9 Julai 2022 yang lalu.

Semasa Ibrahim a.s. diuji oleh Allah dengan perintah menyembelih anaknya Ismail a.s, baginda memperlihatkan sebuah teladan besar sebagai seorang bapa. Biar pun perintah itu daripada Allah, dan baginda akan melakukannya, Ibrahim tetap menyediakan peluang untuk anaknya Ismail menyuarakan pendapat.

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْىَ قَالَ يَـٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلْمَنَامِ أَنِّىٓ أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". 

Saya meneladani hal ini semenjak anak-anak masih kecil. Ingin menjadi seperti Ibrahim 'alayhi al-salam. Menyantuni anak, memberi ruang mereka bersuara dan berpendapat. Kita mendengar pandangan anak-anak, bukan untuk mengiyakan semuanya. Itu bukan pendekatan yang betul sebagai seorang bapa. 

Anak-anak belum matang, frontal lobe mereka belum siap. Ada banyak blind spot dalam pandangan mereka tentang kehidupan. Mengikut sepenuhnya kehendak anak-anak hanya akan membinasakan diri mereka sendiri.

Kita mendengar pandangan anak atas hakikat yang sama, bahawa anak-anak memerlukan bimbingan kita. Sebelum kita membimbing dan memberi nasihat, kita perlu terlebih dahulu memahami apa yang berlegar di fikiran dan perasaan mereka. "Seek first to understand, then to be understood" bak kata Stephen Covey. 

Ibrahim sebagai Khalilullah, telah melakukan jauh lebih awal di dalam sejarah. Melakukannya dengan iman dan ketaatan di tahap tertinggi.

Justeru baik benar untuk kita sebagai bapa, setelah mendengar saranan Covey itu, mengingati sirah yang mulia  oleh Abu al-Anbiya', bahawa mendengar pandangan anak-anak bukan kerana Covey, tetapi kita ada sebab yang lebih tinggi dan mulia. Meneladani seorang Nabi.

Banyak dialog saya dengan anak-anak, saya rakamkan di dalam buku Aku Terima Nikahnya (2008-2010). Saya tahu saya bukan Ibrahim. Jauh sangat. Tetapi teladan yang ini saya komited melakukannya.

Apa yang menyentuh hati saya, ialah apabila Sheikh Hussain Halawa membaca bahagian kedua ayat berkenaan. Jawapan Ismail:

 ۚ قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ 

Anaknya menjawab: "Wahai ayah, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".

Indahnya jawapan Ismail.

Saya belum dapat menikmatinya.

Saya masih dalam perjalanan mendidik anak-anak.

Semasa memandu dari rumah ke masjid, saya menegur anak-anak yang sedang berbual tentang sekolah mereka. Saya tidak setuju dengan pendapat anak-anak yang menolak mengambil subjek tertentu semata-mata kerana tidak suka. Cuba mengingatkan mereka bahawa kami berhijrah ke Finland dan Ireland bukan untuk main-main. Kena berusaha bersungguh-sungguh.

Anak kami berkata "bolehkah jika kita tidak bercakap mengenai hal ini? Sekarang awal pagi, hari raya, dan kerana buka tajuk ini, kami dalam bad mood."

Air mata saya bercucuran semasa khutbah, mengenangkan dialog kami di dalam kereta.

Saya cuba positifkan fikiran bahawa jalan masih panjang, usaha masih perlu dibanyakkan dan diperbaiki. Termasuk memperbaiki diri sendiri. Kerana saya bukan Ibrahim.

Saya teringat aduan Yaaqub 'alayhi al-salam kepada Allah.

Bahawa kita para bapa harus berdamai dengan IKHTIAR, bukan HASIL. Selain ikhtiar, bertawakkallah kepada Allah dan mengadu kepada-Nya.

Kita boleh meneladani Ibrahim.

Namun tiada jaminan untuk mendapat Ismail.