Kita hidup dalam dunia yang bising.
Bukan hanya bising oleh bunyi kenderaan, tetapi ada pelbagai suara dan bunyi yang membelenggu diri hingga sukar untuk menyendiri, menikmati sunyi, dan di dalam sunyi itu merenung diri, mendengar suara hati dan mengingati Ilahi.
Apatah lagi bagi individu ADHD yang sering mengalami kesukaran fungsi eksekutif pada mengawal persepsi hasil input persekitaran yang melampau.
Suatu ketika semasa menghampiri kota Mekah, Rasulullah ﷺ bersama para sahabat melintasi sebuah gunung bernama Jumdan.
وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسِيرُ فِي طَرِيقِ مَكَّةَ فَمَرَّ عَلَى جَبَلٍ يُقَالُ لَهُ: جُمْدَانُ فَقَالَ: «سِيرُوا هَذَا جُمْدَانُ سَبَقَ الْمُفَرِّدُونَ» . قَالُوا: وَمَا الْمُفَرِّدُونَ؟ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: «الذَّاكِرُونَ الله كثيرا وَالذَّاكِرَات» . رَوَاهُ مُسلم
Abu Hurairah meriwayatkan, ketika Rasulullah ﷺ di dalam perjalanan ke Mekah, baginda melalui sebuah gunung bernama Jumdan. Lalu baginda bersabda, "teruskan perjalanan. Ini Jumdan. Telah menanglah al-mufarridun (golongan yang 'menyendiri')!"
Sahabat bertanya, "apakah al-mufarridun itu wahai Rasulullah ﷺ?"
Baginda menjawab, " iaitulah mereka yang mengingati Allah dengan sebanyak-banyaknya, lelaki dan perempuan" [Hadith riwayat Muslim]
Sambil bergaul, berorganisasi, bermasyarakat, berjemaah, jangan ditinggalkan kelebihan menyendiri, mengasingkan jiwa dan fikiran, dan mengisi sunyi itu dengan menguatkan hubungan diri dengan Allah.