Kesediaan mendengar dan kemahiran mengenainya boleh menjadi pembuka jalan untuk seorang yang berada di luar daerah kepercayaan masuk ke daerah iman.
Tanpanya pula, ia boleh menyebabkan seseorang itu walaupun sudah beriman, meraba-raba di dalam kegelapan kerana enggan mendengar lalu terhalang daripada mendapat petunjuk Allah. Siapakah yang dapat menunjuk jalan orang yang terhalang daripada mendapat petunjuk-Nya? Sebab itu hal ini amat penting.
Di dalam surah al-Zumar ayat 18, Allah SWT menyebut:
الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ - 39:18
"Iaitu mereka yang berusaha mendengar perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah golongan Ulu al-Albab."
Perhatian perlu diberikan kepada konotasi perkataan يستمعون yang digunakan oleh Allah. Terjemahan menyebutnya sebagai mendengar. Namun ia bukan dengar sebarang dengar. Jika di dalam bahasa Inggeris pun ada perbezaan antara hear dan listen, di dalam bahasa Arab, apabila kata akar سمع dikembangkan menggunakan acuan (wazan) يفتعل hingga menjadi يستمع atau يستمعون maka makna asal telah berkembang menjadi dua konotasi baharu, iaitu:
1. Al-Musyarakah: Iaitu saling mendengar, berkongsi dengar, saya dengar pendapat awak, awak dengar pendapat saya.
2. Al-Muthāwa'ah: iaitu keserasian; yakni mendengar dengan hati yang terbuka, benar-benar untuk memahami, dan bukannya sambil mendengar, fikiran sibuk mencari hujah untuk membidas, atau membiarkan 'pre-conceived idea' mengenai sesuatu atau seseorang menyebabkan kita bias semasa mendengar.
Hanya dengan memenuhi ciri-ciri ini semasa mendengar, kita terbuka jalan untuk mendapat petunjuk daripada Allah.
Mereka ini jugalah yang disebut sebagai Ulu al-Albab. Ulu bermaksud yang memiliki. Manakala al-Albab (الألباب) itu adalah kata jamak kepada Lubb (لبّ) yang bermaksud isi atau intipati. Ulu al-Albab adalah orang yang dapat isi, bukannya sekadar kulit (face value), atau orang yang 'get the point'.