Listen

Description

Doktor berpesan kepada saya, bahawa walaupun kita mahu dunia lebih memahami tentang ADHD dan isu-isu daerah neurodiversiti yang lain, kita tidak boleh memaksanya. Gunakanlah diagnosis untuk kegunaan diri sendiri pada menentukan apakah rawatan yang sesuai serta strategi yang boleh dibuat untuk meningkatkan fungsi seharian kita.  

Apabila perubahan positif berlaku, biarkanlah perubahan itu yang berbicara.  Mudah-mudahan ia lebih berkesan untuk mengundang penerimaan.  

Sebabnya, ADHD ini sendiri terutamanya ADHD dewasa, tidak berada di dalam domain knowledge masyarakat termasuk para doktor sendiri. Kecuali mereka secara spesifik mengambil tahu, mengemas kini dan merujuk penyelidikan terkini mengenainya. Maka kita bolehlah menghargai kepayahan memenuhi keinginan melihat dunia sekeliling kita faham.  

Namun advokasi perlu diteruskan.  

Saya juga terus berkongsi. Tetapi perkongsian saya bukan perkongsian pakar. Saya tidak akan membuat diagnosis ke atas sesiapa atau mengusulkannya kerana ia bukan bidang saya. 

Mempunyai ADHD tidak menjadikan saya pakar ADHD. Mendakwa diri pakar kerana saya seorang ADHD hanya menyebabkan sains dan ilmu pengetahuan mengenainya jatuh di mata masyarakat. Saya mahu perkongsian saya meningkatkan kefahaman, empati dan menghalakan sahabat kepada pakar untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya. Kita sama-sama tahu jalannya payah.  

Balik ke rumah selepas pertemuan dengan doktor, saya dapati hardcopy majalah Additude yang saya langgan telah tiba. Saya dinasihatkan oleh rakan yang juga seorang psikiatris agar memanfaatkan majalah ini, dan membacanya semenjak 2016. Selepas menerima diagnosis rasmi, saya ingin menghargai usaha majalah Additude ini, antaranya adalah dengan melanggan. Saya langgan juga hardcopy supaya ahli keluarga dan rakan yang berkunjung ke rumah kami, boleh membacanya.  

Sahabat boleh membaca majalah berkenaan di https://www.additudemag.com/ walaupun tanpa melanggannya.  

Semoga serba sedikit perkongsian saya ini bermanfaat untuk kalian. 

Selamat menyempurnakan ibadah di separuh kedua bulan Ramadan kita tahun ini.  

Hasrizal Abdul Jamil

Naas, Ireland

adhd.hasrizal.com