Baru-baru ini khatib di masjid kami mengulas tentang kesalahan para bapa yang tidak mendidik anak-anak mereka dengan didikan agama. Kaum bapa juga ditegur kerana tidak meneladani Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam dalam menyantuni remaja yang 'asi (melakukan maksiat). Banyak perkara baik yang saya ambil sebagai peringatan dan muhasabah diri.
Namun rumusan akhir khutbah meletakkan salah laku anak remaja bulat-bulat ke atas bapa, memberikan kesan yang berat kepada diri saya.
Anak-anak yang turut sama bersolat Jumaat, menyoal saya usai keluar dari masjid, di manakah 'accountability' seorang anak yang sudah dewasa, akil baligh, menerima pendidikan, untuk menyalahkan ayah atas perbuatan-perbuatan buruk yang dirinya sendiri lakukan.
Renungan khutbah itu terus mengingatkan saya kepada komen seseorang kepada artikel yang ditulis oleh isteri saya pada tahun 2010. Tetamu berkenaan mengatakan bahawa "... ada pendakwah yang sibuk berdakwah tetapi anak sendiri dibiarkan tidak bertudung dan solat pun entah ke mana. Siapa yang hendak percaya dengan pendakwah yang sebegitu," katanya.
Mungkin ada ramai ayah di luar saya yang memang tidak mendidik anak. Tetapi bagaimana jika ayah berusaha keras, namun akhirnya anak itu yang di awalnya elok mengamalkan agama tetapi kemudian memilih untuk melawan ibu bapa serta mengingkari Tuhan, masihkah ia kesalahan si bapa?
Terlupakah kita kepada teladan-teladan yang dipelajari daripada susah payah Nabi Nuh, Nabi Yaaqub, malah Nabi Muhammad sendiri, alayhim al-solat wa al-salam, pada menyampaikan didikan, tetapi tidak dapat memaksa penerimaan iman oleh insan kesayangan mereka di dalam keluarga sendiri? Jika anak-anak Nabi Yaaqub berkelakuan buruk, kita melihatnya, adakah kita masih mengecam Nabi Yaaqub bahawa beliau adalah bapa yang gagal?
Anak kecil boleh dibuat macam-macam ikhtiar. Tetapi kalau anak dewasa, hendak dibuat apa sebab reaksi kita kepada keingkaran mereka? Mungkin kerana itu, Yaaqub hingga hilang penglihatan menanggung keperitan mengenai ujian Allah ke atas baginda mengenai anak-anaknya?
قَالَ إِنَّمَآ أَشْكُوا۟ بَثِّى وَحُزْنِىٓ إِلَى ٱللَّهِ وَأَعْلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
(Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya. (Yusuf 12:86)
Jauhkan diri daripada kecenderungan semasa pada meletakkan kesalahan kepada ibu bapa secara sewenang-wenangnya. Kecenderungan membelakangkan ibu bapa dan mengutamakan keseronokan sendiri anak-anak remaja, mengingatkan saya kepada buku Rules of Estrangement: Why Adult Children Cut Ties and How to Heal the Conflict oleh Dr Joshua Coleman.
Antara kisah di dalam buku berkenaan menyebut:
Does my parent limit my potential? My happiness? My distinctiveness? What does it say about me to stay in contact? The prevailing sentiment is sometimes: lose your parent, and find yourself. ‘I’ve just become clear that I don’t need the stress,’ said Robert, a 28-year-old graduate of an Ivy League school. ‘Since I’ve been in therapy, I’m learning to surround myself with people who don’t make me feel guilty about not being around as much as they want me to. My mom is really needy and I just don’t need that in my life.’
Berhentilah daripada kecenderungan menilai hal ehwal kekeluargaan seseorang hanya berdasarkan pemerhatian mata kasar kita pada apa yang kelihatan di luar dinding rumah keluarga itu.
Kita semua saling perlukan empati dan doa, bukan menghukum lagi saling rendah merendahkan.
📌
Support my work Patreon: https://www.patreon.com/hasrizal
Paypal: https://paypal.hasrizal.com