Listen

Description

Kejahatan menghantar manusia ke penjara.  

Tetapi penjara bukan kejahatan.  

Penjara boleh menjadi peluang seseorang itu memperbaiki diri.  

Semoga dengan keputusan mahkamah hari ini yang mengekalkan sabitan bersalah ke atas bekas Perdana Menteri DS Najib Razak di dalam kes penyelewengan Dana SRC, ia memulihkan maruah negara dan menjadi peringatan bahawa tiada siapa yang boleh berada lebih tinggi daripada undang-undang.  

Kita tidak berasa aib semasa negara mengalami kemunduran ekonomi. Tetapi korupsi dan kegagalan menegakkan keadilan untuk membetulkannya, ia amat menyedihkan.  Moga keputusan ini juga membuka ruang rahmat Allah yang lebih luas untuk menghadirkan damai di dalam jiwa masyarakat kita.  

Berita hari ini bukan berita untuk disorak.  Ia berita untuk disyukuri sebagai terjaganya sesuatu yang penting untuk mencegah umat binasa.  

Kebimbangan utama saya adalah pada melihat agama dan sentimen perkauman digunakan untuk kepentingan peribadi terutamanya dalam sedekad mutakhir ini. Hingga Islam dan Muslim juga dipandang sinis.  Sedangkan agama kita adalah agama yang sangat mengambil berat soal keadilan dan mencegah kezaliman.  

Nabi kita Nabi Muhammad ﷺ  pernah bersabda:

   إنَّما أهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ، أنَّهُمْ كَانُوا إذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وإذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أقَامُوا عليه الحَدَّ، وايْمُ اللَّهِ لو أنَّ فَاطِمَةَ بنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا  

"Sesungguhnya umat sebelum kamu telah binasa apabila orang berkedudukan di dalam masyarakat itu mencuri, mereka melepaskannya. Apabila orang yang lemah mencuri, mereka mengenakan hukuman ke atas. Demi Allah, kalaulah sesungguhnya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku yang akan memotong tangannya!" [HR al-Bukhari :  3475]  

Hadith ini semua orang agama sudah belajar mengenainya. 

Ingatlah kembali asas ini. 

Kekalkan peranan orang agama pada meluruskan agama masyarakat, dan menjernihkan kekeliruan. Jangan sekali-kali terjebak menggunakan agama untuk kepentingan peribadi masing-masing. Ilmu agama bukan ilmu untuk buat duit. 

Nabi kita ﷺ  pun semasa wafat tidak mewariskan harta. 

Baginda hanya mewariskan ilmu agama ini sebagai pedoman kerana sudah tidak ada nabi lain hingga ke akhir zaman.  

Semoga Allah jaga kita, dan doakan yang baik-baik untuk semua, amin.