Listen

Description


𝗠𝗲𝗻𝗴𝗮𝗽𝗮 𝗞𝗲𝗽𝘂𝘁𝘂𝘀𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗽𝗲𝗿𝗶𝗸𝘀𝗮𝗮𝗻 𝗧𝗶𝗱𝗮𝗸 𝗣𝗮𝘁𝘂𝘁 𝗝𝗮𝗱𝗶 𝗣𝗲𝗻𝗮𝗻𝗱𝗮 𝗔𝗿𝗮𝘀
Pendidikan di Malaysia sering kali dikaitkan dengan keputusan peperiksaan. Keputusan seperti SPM dan STPM dianggap sebagai penentu utama kejayaan akademik. Namun, adakah wajar menjadikan keputusan peperiksaan sebagai KPI untuk pelbagai pihak selain pelajar?
Salah satu sebab utama mengapa keputusan peperiksaan tidak sepatutnya menjadi KPI adalah risiko dan manfaat pihak yang terlibat. Apabila keputusan pelajar menjadi KPI bagi guru, pengetua, atau pihak pendidikan, terdapat potensi untuk manipulasi data. Ini kerana keputusan peperiksaan dijadikan penanda aras mengukur perkara-perkara yang terpisah daripada pembelajaran murid. Ada pelbagai faktor lain yang mempengaruhi, tetapi dikesampingkan dengan memberi fokus hanya kepada markah dan gred murid.
Lebih buruk lagi, apabila mekanisme semakan dan pentaksiran tidak telus, ketidakpercayaan terhadap integriti keputusan peperiksaan tercetus. Dalam usaha untuk mencapai KPI yang ditetapkan, ada kemungkinan berlaku manipulasi keputusan peperiksaan. Ini boleh menyebabkan penyimpangan dalam penilaian sebenar prestasi pelajar dan guru. Kepercayaan terhadap keputusan peperiksaan akan terjejas apabila masyarakat mula percaya kepada khabar angin dan hilang kepercayaan terhadap integritinya.
Pihak bertanggungjawab tidak menghampiri solusi apabila tindakan mempersoal perkara ini diselar dengan label-label yang tidak munasabah sedangkan masyarakat berhak mengetahui perinciannya kerana ia membabitkan masa hadapan anak-anak mereka. Kementerian berada di posisi berkhidmat kepada rakyat dengan membekalkan maklumat yang diperlukan.
𝗠𝗲𝗻𝗶𝗹𝗮𝗶 𝗔𝗹𝘁𝗲𝗿𝗻𝗮𝘁𝗶𝗳: 𝗦𝗶𝘀𝘁𝗲𝗺 𝗣𝗲𝗻𝘁𝗮𝗸𝘀𝗶𝗿𝗮𝗻 𝗕𝗲𝗿𝗮𝘀𝗮𝘀𝗸𝗮𝗻 𝗦𝗲𝗸𝗼𝗹𝗮𝗵
Negara seperti Finland telah mengadaptasi sistem pentaksiran yang lebih organik. Mereka tidak membandingkan keputusan peperiksaan antara sekolah atau negeri. Sistem ini mengutamakan integriti penilaian oleh guru dan tidak menekan guru untuk mengubah keputusan pelajar demi memenuhi KPI mana-mana pihak.
𝗠𝗲𝗻𝗴𝗮𝗽𝗮 𝗦𝗶𝘀𝘁𝗲𝗺 𝗙𝗶𝗻𝗹𝗮𝗻𝗱 𝗕𝗲𝗿𝗷𝗮𝘆𝗮
1. Kepercayaan Terhadap Guru: Di Finland, guru diberi kepercayaan penuh untuk menilai pelajar. Ini kerana penilaian mereka dianggap berintegriti dan profesional. Guru tidak mempunyai sebab untuk tidak telus mentaksir murid di bawah didikannya.
2. Fokus pada Perkembangan Pelajar: Penilaian di Finland lebih tertumpu kepada perkembangan harian pelajar, bukan semata-mata keputusan akhir peperiksaan.
3. Budaya Pendidikan yang Holistik: Masyarakat Finland tidak mengagungkan keputusan peperiksaan, sebaliknya melihatnya sebagai satu aspek kecil dalam perjalanan pendidikan.
4. Sistem pendidikan yang efektif bukan sahaja bergantung kepada struktur pentadbiran tetapi juga kepada budaya masyarakat dan prinsip pegangan sistem yang beroperasi.
Mengubah sistem pendidikan untuk tidak disibukkan oleh sentimen seputar keputusan peperiksaan adalah langkah untuk kita maju ke hadapan. Ia bukan sahaja membantu meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap pendidikan tetapi juga membolehkan pelajar menikmati proses pembelajaran yang lebih bermakna dan holistik. Pelajar memerlukan keputusan peperiksaan yang menjelaskan realiti sebenar mereka. Apatah lagi untuk mereka keluar daripada persekitaran pembelajaran tempatan yang terkawal, kepada persekitaran antarabangsa yang bakal mendedahkan standard sebenar masing-masing.
Pendidikan adalah amanah daripada Allah SWT.
Amanahlah dalam menunaikannya.
Ia jalan islah.
https://saifulislam.com/mudarat-menjadikan-spm-sebagai-kpi-pelbagai-pihak-selain-murid/
#saifulislamdotcom #ustazhasrizal #hasrizaljamil #HasrizalAbdulJamil #hasrizal #pendidikanjalanislah #pendidikanfatamorgana #spm #spm2024