Listen

Description

Firman Allah SWT:

  كَلَّا لَئِن لَّمْ يَنتَهِ لَنَسْفَعًۢا بِٱلنَّاصِيَةِ  نَاصِيَةٍۢ كَـٰذِبَةٍ خَاطِئَةٍۢ  

Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika dia tidak berhenti (daripada perbuatan buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam Neraka),Ubun-ubun yang berdusta, yang bersalah. (al-‘Alaq 96: 15-16)  

Secara peribadi, saya dapati ayat ini adalah antara ayat al-Quran yang memperlihatkan kesukaran ilmuan silam menjelaskan maksudnya.

Di dalam bahasa Arab, perkataan nāṣiyah (نَاصِيَة \ نَوَاصِي) diguna pakai dalam makna-makna kiasan merujuk kepada pemuka dan barisan hadapan misalnya apabila disebut هُوَ نَاصِيَةُ قَوْمِهِ ia bermaksud beliau adalah ketua yang mewakili kaumnya.

Namun istilah nāṣiyah tersebut mendatangkan makna utamanya iaitu bahagian di mana bermulanya tumbuh rambut di dahi, yakni puncak kepala. Saya sendiri kurang pasti semasa menggunakan istilah ubun-ubun kerana ia adalah bahagian berkenaan untuk bayi, bukan kepada orang dewasa. Apabila bahagian itu yang Allah nyatakan sebagai sang pendusta juga pesalah, ilmuan kelihatannya ramai yang merumuskan bahawa istilah nāṣiyah di sini berkemungkinan adalah makna kiasan dan bukan makna hakiki.

Malah selain nāṣiyah  itu berdusta (كَاذِبَة) Allah juga menggunakan istilah bersalah yakni خَاطِئَة dan bukannya مُخْطِئَة.  Istilah مُخْطِئَة digunakan apabila seseorang itu melakukan kesalahan tanpa niat.  Sedangkan خَاطِئَة itu hanya digunakan ke atas seseorang yang melakukan kesalahan dengan niat, dengan sengaja, sebagai pilihan.

Pemahaman terhadap istilah nāṣiyah berkenaan, dengan mengambil manfaat sains moden hari ini, menjadi satu pembuktian kebesaran Allah, kebenaran al-Quran dan kenabian Muhammad ﷺ  yang agung.

Hari ini kita mengetahui melalui sains moden bahawa bahagian otak manusia mempunyai daerah-daerah induk yang setiap satunya mempunyai peranan tersendiri. Bahagian paling berkait rapat dengan perbincangan kita ini adalah merujuk kepada bahagian hadapan otak yang dikenali sebagai frontal lobe, terutamanya sub kepada frontal lobe berkenaan iaitu prefontal cortex (PFC).   

Abu Jahal merancang untuk menganiaya Nabi Muhammad ﷺ  , mendustakan Allah, walaupun lidah yang menuturkannya, dan kaki yang melangkah ke arah melakukannya, Allah memfokuskan hukuman dan ancaman ke puncak kepala Abu Jahal, tempat lahirnya pilihan-pilihan keji berkenaan.  

Sebab itu, kondisi seperti ADHD adalah serius. Kelewatan tumbesaran frontal lobe dan defisit kimia otak seperti dopamine boleh mengakibatkan manusia mudah terjerumus ke lembah kejahatan dan kemudaratan.

Dengan memahami nāṣiyah sebagai lokasi frontal lobe dan prefrontal cortex, saya ingin selalu membaca doa ini:

https://sunnah.com/hisn:120

Kata Rasulullah ﷺ  , “ tidaklah seseorang membaca doa ini melainkan Allah akan hilangkan daripadanya kebimbangannya, dan menggantikan ia dengan kegembiraan”