Listen

Description

"Remaja adalah peringkat umur yang biasa jauh daripada agama. Apa nasihat ustaz?"

Soalan ini timbul semasa kelas dalam talian saya bersama anak murid di tanahair.

Jauh atau dekatnya seseorang daripada agama tidak semata-mata berdasarkan penampilan luaran. Pakaian seragam sekolah, kehendak keluarga, adat sekeliling, boleh mendesak kita menampilkan diri dengan imej golongan yang dekat dengan agama. Sayangnya, ia menjadi seperti bulan. Indah dipandang dari jauh, tetapi semakin kita dekati, semakin berlubang di sana sini. Imej beragama tidak dapat menghilangkan hanyir akhlak yang keji.

Alam remaja adalah alam kita banyak membuat perhitungan yang salah. Bukan salah kita pun. Frontal lobe di otak yang menjadikan kita manusia itu pun belum siap sepenuhnya. Banyak blindspot dalam hidup.

Namun, di sisi Pencipta kita, lain kisahnya. Biar pun masih remaja, kita sudah mukallaf. Sudah bertanggungjawab ke atas perbuatan sendiri.

Hakikatnya, remaja sudah mampu bertanggungjawab. Perlu bertanggungjawab dengan pilihan-pilihan sendiri. Tetapi, hadkan bebanan itu sekadar pada pada hal yang perlu; persekolahan, persahabatan, dan mengurus kewangan diri. Kurangkan risiko terpaksa berfikir benda yang kita belum mampu akibat merepek dalam kehidupan.

Ada dua bekal yang menyelamatkan remaja; agama dan ibu bapa. Jika hendak nakal sekali pun, jangan sampai membuang kedua-duanya.

Jika buang agama, ibu bapa mendoakan hidayah tanpa putus asa agar kembali kepada agama. Jika buang ibu bapa, agama pula berulang kali mengingatkan kita kembali berihsan dengan ibu bapa, dan bersabar dengan kekurangan mereka. Jika agama dibuang, ibu bapa juga dibuang, mungkin barulah benar-benar seseorang itu menjadi jauh daripada agama. Ia membinasakan. Walaupun ia sudah lumrah, jangan sesekali diterima sebagai kebiasaan. Ia petaka akhir zaman.

Petikan Halaqah al-Muta'allimin pelajar Khalifah Model School (Secondary)