Apabila peguambela Amber Heard, Elaine Bredehoft muncul di dalam talk show mengkritik keputusan juri di dalam kes perbicaraan JD vs AH, ia memperlihatkan sisi yang bertambah rumit mengenai pergolakan ideologi di belakang kes ini. Lebih malang, mereka yang tidak mengikut rapat proses mahkamah selama hampir 7 minggu itu, berisiko terseleweng pemahamannya disebabkan oleh dakwaan-dakwaan palsu beliau:
Hos acara Ireland AM semasa menemubual Dave Neal, menolak keterangan Dave Neal bahawa wanita dan mangsa keganasan rumahtangga tidak harus takut teraniaya hanya kerana Amber Heard kalah kerana selama beberapa tahun Amber Heard telah dipercayai. Tetapi kepercayaan itu musnah akibat pembohongan beliau sendiri yang bertali arus. Kenyataan Dave Neal ini dikatakan 'rubbish' oleh Tommy, hos talk show Irish berkenaan. Kemudian beliau sendiri mengaku tidak mengikuti perbicaraan di US. Ia memalukan.
Sentimen di Ireland cenderung kepada toxic feminism kerana Ireland masih di dalam situasi reaktif terhadap tragedi penyelewengan gereja Katholik yang menyaksikan ramai wanita dan kanak-kanak dianiaya atas nama gereja dan agama. Malangnya ia banyak dilakukan oleh lelaki daripada institusi berkenaan.
Tragedi tersebut menyebabkan semakin ramai penduduk Ireland mendakwa diri mereka sebagai Atheist, meninggalkan bukan sahaja gereja Katholik, malah agama Kristian dan agama secara keseluruhannya.
Ia juga menjadikan Ireland begitu agresif dalam melindungi kaum wanitanya. Ia asasnya bagus malah perlu, tetapi mudah terjebak ke daerah toxic feminism.
Kita harus belajar daripada kejadian ini untuk memahami pergolakan ideologi yang berada di belakang naratif semua pihak yang memperkatakannya.
Pada masa yang sama, kita juga hendaklah mengelak daripada berlebih-lebihan mengidola atau membenci selebriti hingga terlupa bahawa mereka adalah manusia biasa, dan sebagai manusia, mereka perlu diberi peluang untuk dibela semasa dianiaya, sama seperti kita. Jangan diremehkan mereka hanya kerana mereka 'selebiriti'.
Semoga Allah memelihara kita semua daripada cabaran pemikiran dan moral di akhir zaman ini.
Hasrizal Abdul Jamil
Naas, Ireland.