Listen

Description

Penyakit 'ain itu benar.  

Walaupun foto dan lukisan hari ini bukan lagi berkonotasi sembahan yang menjurus kepada syirik seperti suatu ketika dahulu, malah menjadi bahan kegunaan harian (pengenalan diri dan sebagainya), ia tetapi mempunyai impak kepada emosi primitif setiap manusia. Sama ada dengan melihatnya kita takjub dan menyukainya, atau cemburu dan hasad terhadapnya.  Kedua-duanya mengundang risiko menambah sumber penyakit 'ain.  

Pada kefahaman saya, bukanlah pandangan itu sendiri yang menyebabkan mudarat. Sebaliknya pandangan yang bergelora pada rasa takjub atau cemburu itu mencetus syaitan untuk menyakit subjek yang dirujuk. Oleh kerana ia kerja syaitan, sudah tentu ia tidak terjadi kecuali dengan izin Allah. Tetapi risikonya berat, dan kerana itu baginda Rasulullah ﷺ  memberi peringatakan.  

Bayangkan, Amir ibn Rabi'ah yang melawat Sahl ibn Hunaif, tidak berniat buruk semasa memuji kulit beliau yang cantik. Tetapi pujian itu disusuli dengan kejadian Sahl jatuh sakit. Apabila hal beliau diadukan kepada Nabi Muhammad ﷺ , baginda bertanya apakah ada sesiapa yang disyaki menjadi sebab di sebalik kejadian. Mereka memberitahu baginda tentang pujian Amir ibn Rabi'ah tempoh hari.  Lantas baginda berkata:

  عَلاَمَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ  

"Kenapa salah seorang daripada kalian membunuh saudaranya?!"  

Bayangkan.  

Satu pujian Amir kepada kulit Sahl, baginda mengungkapkan perbuatan itu sebagai seumpama membunuh saudara sendiri. Bukankah hari ini kita sudah begitu normal bercakap tentang rupa paras; badan slim tak slim, jaw line, hidung, mata, kulit, di media sosial?  Berapa kali sehari kita 'membunuh'?  Tidak hairanlah kita resah gelisah dan ditimpa macam-macam musibah, malah berkolerasi dengan peningkatan penyakit mental dan jiwa.  

Nutrisi lebih baik, kualiti hidup lebih baik, tetapi susah benar untuk bahagia dan sejahtera.  Kata Rasulullah ﷺ lanjutan kisah Amir dan Sahl itu tadi:

   إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ مَا يُعْجِبُهُ ، فَلْيَدْعُ لَهُ بِالْبَرَكَةِ  

"... jika sesiapa di kalangan kamu melihat sesuatu pada saudaranya dengan rasa takjub, hendaklah berdoa untuknya keberkatan daripada Allah!" [HR Ibn Majah (2828) dan al-Nasa’i (10036)]  

Lalu baginda mengarahkan agar Amir berwudhu'. Beliau membasuh muka, kedua tangan hingga ke paras siku, dua lutut dan bahagian dalam kainnya. Nabi ﷺ   mengarahkan  air wudhu' itu disiram kepada Sahl dari arah belakang.   

Semua yang cantik, yang baik, yang indah, daripada Allah.  

Jangan lupa Allah.  

Apabila kita lupa Allah, kita terperosok di dalam perangkap nafsu sendiri, dan syaitan mengiringi.  

Bagi yang melihat, gigitlah lidah dan jari jemari daripada bercakap atau menulis tentang fizikal atau harta milik orang. Doa dalam diam keberkatan daripada Allah untuknya.  Manakala bagi yang memiliki dan dipandang diri, bersederhanalah dalam memposisikan diri di hadapan khalayak di era kita hidup dikelilingi kamera, cermin, skrin, yang semuanya menambah risiko.

Kita juga semakin jarang mencetak foto. Semuanya digital sahaja. Tetapi sekali sekala kita cetak, ia mungkin untuk tujuan istimewa sebagai hiasan rumah. Sama ada kita sendiri atau orang lain, jika memandang foto-foto itu dengan perasaan yang membakar lagi bergelora, baik kerana teruja atau hasad dengki, kedua-duanya menjadi pandangan yang menghantar syaitan untuk menyakiti saudara dan ahli keluarga kita sendiri.  

Tidak mengapalah ambil foto muka tak lengkap, atau comot sedikit. 

Cantik dan kacak pun, akhirnya jadi tanah dan makanan ulat di kuburan juga. 

Kembalikan fokus kita kepada apa yang utama. 

Budi pekerti diri, akhlak, diri dalaman yang hakikatnya menjadi tempat jatuh pandangan Allah.