𝗧𝗔𝗞 𝗧𝗔𝗛𝗨 𝗞𝗘𝗡𝗔𝗣𝗔 𝗖𝗘𝗠𝗘𝗥𝗟𝗔𝗡𝗚: 𝗦𝗧𝗥𝗔𝗧𝗘𝗚𝗜 𝗕𝗘𝗟𝗔𝗝𝗔𝗥 𝗕𝗘𝗥𝗔𝗦𝗔𝗦𝗞𝗔𝗡 𝗦𝗔𝗜𝗡𝗦 𝗣𝗘𝗠𝗕𝗘𝗟𝗔𝗝𝗔𝗥𝗔𝗡
Alhamdulillah, baru-baru ini kami sekeluarga bersyukur apabila salah seorang anak kami memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Leaving Certificate. Peperiksaan ini setaraf dengan A-Level atau STPM dan merupakan langkah penting untuk melanjutkan pengajian di peringkat tertiari.
𝗠𝗘𝗠𝗕𝗜𝗡𝗔 𝗕𝗔𝗡𝗞 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗘𝗧𝗔𝗛𝗨𝗔𝗡
Saya cuba memahami bagaimana anak kami mencapai keputusan cemerlang, saya kumpulkan beberapa teknik yang digunakan tanpa disedari oleh beliau sendiri. Antara kaedah yang beliau gunakan adalah membina bank pengetahuan menggunakan aplikasi Notion. Setiap kali selepas kelas, beliau mencatatkan apa yang telah dipelajari, topik yang diliputi, dan isu yang timbul. Teknik ini membantu beliau menguruskan pembelajaran dalam jangka masa panjang.
𝗣𝗘𝗥𝗔𝗡𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗡𝗚𝗔𝗠𝗕𝗜𝗟 𝗡𝗢𝗧𝗔 𝗗𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗧𝗨𝗟𝗜𝗦𝗔𝗡 𝗧𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡
Selain itu, beliau menggunakan iPad dengan Apple Pencil untuk mencatat nota. Kajian menunjukkan bahawa menulis nota dengan tangan membantu memproses maklumat secara mendalam dan ada makna (meaningful) kerana nota ditulis menggunakan ayat sendiri. Ia membantu memindahkan maklumat dari memori jangka pendek ke memori jangka panjang. Ini kerana penulisan tangan memerlukan pelajar untuk menafsir dan meringkaskan maklumat dengan kata-kata sendiri. Nota yang ditaip berisiko menjadikan kita menaip terus apa yang didengar tanpa melalui proses memaknakannya dalam minda.
𝗞𝗘𝗣𝗘𝗡𝗧𝗜𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗦𝗢𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗣𝗘𝗠𝗕𝗘𝗟𝗔𝗝𝗔𝗥𝗔𝗡
Semasa menulis nota, si anak juga mencatat soalan-soalan yang terlintas dalam fikirannya. Kemahiran ini penting kerana ia murid tidak mudah menyedari apa yang dia tidak tahu, belum tahu, hendak tahu. Soalan, adalah petanda terjadinya 'berfikir' semasa belajar. Ia antara 'permata yang hilang' dalam pembelajaran hari ini. Menulis nota dalam bentuk soalan-soalan adalah satu cara untuk menggalakkan pelajar berfikir secara kritis dan reflektif.
𝗣𝗘𝗥𝗔𝗡𝗔𝗡 𝗜𝗠𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗡 𝗨𝗦𝗔𝗛𝗔
Sempat juga saya berleter menekankan bahawa kejayaan bukan hanya bergantung kepada usaha semata-mata, tetapi juga merupakan rezeki daripada Allah ﷻ . Oleh itu, penting untuk menjaga amalan seperti solat dan berbuat baik kepada ibu bapa. Sifat bertanggungjawab dan peka dengan persekitaran juga adalah nilai yang penting untuk diterapkan dalam kehidupan seharian.
𝗞𝗘𝗦𝗜𝗠𝗣𝗨𝗟𝗔𝗡
Keseluruhan pengalaman ini memberi kami pelajaran berharga yang boleh dikongsi dengan anak-anak lain. Kejayaan dalam peperiksaan tidak hanya diukur melalui markah, tetapi juga melalui pengajaran dan kebaikan yang terbit daripadanya. Barakah bermaksud kebaikan yang melimpah dan berganda. Tanda rezeki itu ada barakah, ialah apabila satu kebaikan melahirkan kebaikan-kebaikan yang lain.
Sisi bagusnya juga ialah benda-benda ini si anak teroka dan bina sendiri. Bukan ikut-ikut atau saya suruh. Namun sebagai pendidik yang pernah mengajar subjek study skills dahulu, kemahiran belajar berasaskan sains pembelajaran adalah benda yang sentiasa saya beri perhatian dan ambil berat. Ia ada asas kukuh dan boleh dilatih.
Mudah-mudahan, dengan berkongsi pengalaman ini, anak-anak lain dapat mengambil manfaat dan berjaya dalam pelajaran mereka.
Keputusan peperiksaan hanya untuk meneruskan perjalanan seterusnya dalam hidup. Ia tidak harus pergi berlebih-lebihan pada mendefinisi harga diri sesiapa.
Wallahualam.
#pendidikanjalanislah #hasrizalabduljamil #khalifahmethod #peperiksaan #pendidikan