Listen

Description

“Angkatlah telefon tu! Ada telefon tak angkat buat apa ada telefon!”

Kegeraman kawan-kawan dengan perangai saya tidak menjawab panggilan telefon sudah pun saya catat semenjak tahun 2007

Semasa itu saya menulis sebuah artikel di saifulislam.com dengan tajuk Telephonophobia.

Setiap kali telefon berdering, saya akan berdebar-debar, mood baik jadi terganggu, apatah lagi nombor yang terpapar tidak saya kenali. Saya tidak akan sekali-kali menawarkan pilihan menelefon atau menjawab panggilan telefon, selagi boleh. Ia adalah kebimbangan tidak rasional, yang sukar saya jelaskan.

Melihat kembali artikel 2007 berkenaan, saya berikan alasan yang telinga saya tidak cukup baik untuk berbual di telefon. Saya akan mengangguk dan mengiyakan apa yang pihak di sebelah sana sebut, walaupun banyak daripada butir percakapan tidak dapat saya tangkap dan fahami. Tak patutlah, kan?

Keduanya, saya tertekan dengan lambakan jemputan ceramah yang andai melalui panggilan telefon, saya perlu berkata ya atau tidak secara spontan. Sedangkan saya beristerikan seorang doktor di wad kecemasan. Sejak dahulu lagi, saya sentiasa memeriksa terlebih dahulu jadual kerja isteri, terutamanya apabila ia membabitkan siapa yang akan jaga anak-anak kami yang masih kecil. Tak seronoklah jika sudah setuju, kemudian perlu berhubung semula untuk membatalkannya.

Selepas menerima diagnosis ADHD dewasa, dan memahami tentang kondisi fikiran dan emosi saya yang 'intense', barulah saya mendapat serba sedikit jawapan. Telephonophobia atau telephone anxiety ini ada di dalam DSM-V di bawah social anxiety. Untuk kondosi berkaitan telephonophobia ini menerima diagnosis, keadaan tersebut mestilah berlaku lebih dari tempoh 6 bulan, dan menampakkan 3 ke 5 daripada simptom yang disenaraikan.

Andai anda ada sahabat yang susah hendak menjawab panggilan telefon, janganlah berkecil hati dengannya. Dia mungkin sahabat anda paling baik hati. Cuma dia akan lebih mudah berkomunikasi, andai anda sudi menukar panggilan telefon kepada mesej bertulis, atau jumpa bersemuka.

Jemput menonton perbincangan mengenainya di Youtube saya.

#adhddewasa #adhdmalaysia #telephonophobia