Shalom!
Keluarga besar kami yang dikasihi di dalam Tuhan Yesus Kristus.
Rabu, 18 Mac 2020; Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan. Satu peristiwa sejarah dalam perjalanan hidup setiap kita, yang akan diceritakan kepada anak-anak dan cucu-cucu kita turun-temurun. Banyak pelajaran telah kita alami setelah berminggu dan berbulan duduk di rumah bersama keluarga. Dalam kita memulai “hidup yang diperbaharui”, saya ingin membawa kita untuk melihat satu perkara yang saya percaya telah diperkukuh sebagai cara hidup kita semasa PKP ini. Iaitu, kehidupan yang saling mengampuni. Saya mengambil, “Saling Mengampuni. Mengukuh Ikatan Kekeluargaan”, sebagai tema perbualan kita.
Saya membawa kita membaca Matius 18:21-35, satu perumpamaan yang diberi Tuhan Yesus untuk mengajar murid-murid-Nya mengenai pengampunan.
Dari pembacaan kita, kita mengenal bahawa untuk saling mengampuni, membawa maksud:
(i) Pengampunan diberi tanpa had. Matius 18:21-22. Pengampunan tidak terhad atau mempunyai batasan. 70 kali 7 tidak bermaksud bahawa pada kesalahan ke-491 anda boleh berhenti mengampuni. Mesejnya, kita perlu mengampuni dan terus mengampuni tanpa had.
(ii) Kita saling mengampuni sebagaimana Tuhan sudah mengampuni kita. Matius 18:23-35. Perumpamaan yang diberi Tuhan Yesus membawa kita untuk menyelidiki hati kita masing-masing. Hamba pertama tidak dapat membayar hutang yang banyak kepada Tuannya. Dia diampuni Tuannya, Matius 18:23-27. Tetapi hamba pertama ini tidak menghargai pengampunan yang dia terima, dia telah memeras satu hamba lain yang telah berhutang hanya sedikit dengannya dengan membicarakannya dan mengumbankannya ke dalam penjara. Setelah diketahui Tuannya, hamba pertama diadili dan dipenjara.
Kita perlu mengenal bahawa Tuhan terlebih dahulu telah mengampuni kita. Maka kita perlu merendahkan diri kita kepada Tuhan. Dengan mengampuni, kita melepaskan diri kita dari kepahitan dan mempercayai anugerah Tuhan dalam keselamatan kita masing-masing, siapapun yang bersalah. Injil Markus dalam Markus 11:25-26, berkata begini, “setiap kali kamu berdoa, jika ada sesiapa yang bersalah terhadapmu, ampunilah dia, supaya Bapa-mu di syurga juga akan mengampunkan kesalahanmu. Tetapi jika kamu tidak mengampuni, Bapa-mu di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.”
(iii) Pengampunan adalah dari hati yang tulus ikhlas, dengan segenap hati. Matius 18:35. Kita hendaklah “baik hati, saling berbelas kasihan, dan saling mengampuni sebagaimana Allah telah mengampuni kamu (kita) melalui Kristus”, Efesus 4:32, BM – Berita Baik.
Dalam suratnya kepada orang percaya di Rom, Rasul Paulus menulis, “sedapat-dapatnya, kalau hal itu bergantung padamu, hiduplah dalam perdamaian dengan semua orang!” Roma 12:18. Dan kepada Jemaat Kolose dia menulis, “Kamu umat Allah. Allah mengasihi kamu dan memilih kamu supaya menjadi milik-Nya sendiri. Oleh itu, kamu harus berbelas kasihan, baik hati, rendah hati, lemah lembut, dan bersabar. Hendaklah kamu saling bersabar dan saling mengampuni apabila ada yang menaruh dendam terhadap orang lain. Kamu harus saling mengampuni sebagaimana Tuhan sudah mengampuni kamu.” Kolose 3:12-13, BM – Berita Baik.”
Jadi jika sesuatu itu bergantung kepada kita, dalam kuasa kita untuk lakukan, Rasul Paulus menasihati agar, “dengan sedaya upaya, berusahalah untuk hidup damai dengan semua orang.” Kita memberi pengampunan dulu. Kita memohon maaf dulu.
Keluarga besar kami yang dikasihi, marilah kita terus mengukuh sifat untuk saling-mengampuni. “Saling Mengampuni Mengukuhkan Ikatan Kekeluargaan”.
Tuhan memberkati kita semua.
Lydia.
[Firman Tuhan untuk Ibadah Keluarga, Khamis 14 Mei 2020, 8.00 PM]