Shalom, keluarga besar kami yang dikasihi dalam Tuhan Yesus Kristus.
“TUHAN memberkati engkau dan melindungi engkau; TUHAN menyinari engkau dengan wajah-Nya dan memberi engkau kasih karunia; TUHAN menghadapkan wajah-Nya kepadamu dan memberi engkau damai sejahtera.”
Dalam pertemuan kita kali ini, saya mendorong kita untuk saling memberkati sebagai cara hidup bagi memperkukuh dan meneguhkan ikatan kekeluargaan. Kita akan membaca Firman Tuhan dari Bilangan 6:22-27, dan menghayati “Teguhkan Keluarga Dengan Saling Memberkati" sebagai tema perbualan kita, untuk menjawab 3 soalan tentang “berkat”. (1) Dari mana sumber berkat? (2) Apakah berkat itu? Dan, (3) Bagaimana kita menerima berkat TUHAN?
(1) Dari mana sumber berkat? Pesanan ringkas “GBU”, singkatan “God Bless You” yang kita hantar memperakui TUHAN-lah sumber berkat. Ungkapan berkat yang Imam Harun lafazkan di atas Umat Israel, Nama TUHAN dilafazkan dalam tiga kali dalam tiga rangkap ucapan berkat itu, agar kita tahu dari mana sumbernya berkat. Ayat 22, menyebut bahawa “TUHAN berfirman”, iaitu, TUHAN-lah sumber berkat. Dan untuk meyakinkan kita, ayat 27 mencatat kata-kata dari mulut TUHAN sendiri, “demikianlah harus mereka meletakkan nama-Ku atas orang Israel, maka Aku akan memberkati mereka.” Ini menekankan bahawa TUHAN Sendiri-lah yang mahu memberkati kita semua.
Semasa kita duduk di rumah dalam beberapa bulan ini, saya yakin kita mengenal dan memperakui TUHAN-lah sumber berkat. Dan dalam kita mula kembali kepada tugasan harian kita ingatlah bahawa TUHAN-lah yang memberkati. Nabi Yeremia mengingatkan Umat Israel begini di Yeremia 2:12-13, “Oleh itu Aku memerintahkan langit bergoncang kerana ngeri, hairan dan terperanjat, kerana umat-Ku telah melakukan dua dosa: mereka meninggalkan Aku, sumber air pemberi hidup kepada manusia, dan mereka menggali kolam yang bocor dan tidak dapat menampung air.” Keluargaku, ingatlah bahawa TUHAN sumber berkat. Janganlah kita lupa dan meninggal TUHAN sumber air hidup, untuk menggali kolam sendiri yang menghampakan kita.
(2) Apakah berkat itu? Ungkapan berkat Bilangan 6:24-26, meringkaskannya kepada kita. Berkat disebut sebagai hubungan peribadi dengan TUHAN, dimana kita mengalami perlindungan-Nya dan perkenannya. TUHAN mahu kita tahu dan peka kepada kehadiran-Nya, bukan sekadar mengetahui bahawa Dia memelihara dan melindungi kita. Inilah berkat yang sangat besar; mengenali bahawa wajah TUHAN dihadap kepada kita, memberi kita damai. Inilah kasih kurnia TUHAN. TUHAN berkenan kepada kita hanya oleh kerana kehendak dan pilihan Dia sendiri. Itulah ungkapan berkat yang kita ucapkan, bahawa dalam anugerah TUHAN kita dapat mengenal TUHAN berkenan kepada kita.
(3) Bagaimana kita menerima berkat TUHAN? Saya membaca Ibrani 4:16 tema “PODCAST” saya; “marilah kita tampil dengan berani ke hadapan takhta kasih kurnia, supaya kita mendapat belas kasihan dan kasih kurnia untuk menolong kita ketika kita memerlukannya”. Jadi berkat TUHAN diberi dengan percuma kerana rahmat-Nya dan kasih kurnia-Nya. Kasih kurnia tidak bergantung kepada kita. Konteks catatan ucapan berkat di Bilangan 6:24-26, bermula di Bilangan Bab 5 dengan pengendalian penghakiman kepada penzinah, orang berdosa, dan seterusnya di Bilangan Bab 6 peraturan-peraturan bagi orang beragama yang bernazar. Saya tidak tahu dimana kita letakkan diri kita diantara dua situasi ini, orang berdosa atau orang beragama? Siapapun kita pilih, kita puji TUHAN kerana hanya oleh kasih karunia kita diselamatkan. Rasul Paulus menulis, “kamu telah diselamatkan dengan kasih kurnia-Nya melalui iman – ini bukan daripada kamu sendiri tetapi adalah kurnia Allah – bukan kerana usaha amalmu supaya tiada seorang pun yang dapat bermegah,” Efesus 2:8-9.
Halleluyah! Puji Tuhan!
Lydia.