Shalom kepada semua keluarga besar yang kami kasihi di dalam Tuhan Yesus Kristus.
Kita bertemu sekali lagi dalam renungan Firman Tuhan dari 1 Yohanes 3:11-18. Tema perbualan kita adalah “Kasih Mengikat Kukuh Keluarga.”
1 Yohanes 3:11-18, Firman Tuhan yang kita hayati, adalah petikan dari Surat Rasul Yohanes kepada orang-orang percaya agar mereka diyakinkan bahawa mereka memperoleh hidup yang kekal kerana Kristus, 1 Yohanes 5:13. Daripada cerita tradisi gereja awal, disebut peristiwa Rasul Yohanes di bawa ke suatu pertemuan gereja oleh tuannya; dia telah diberi peluang untuk menyampai kata-kata dorongan untuk orang yang hadir. Diceritakan, bahawa dia hanya mengatakan “Kasihilah satu dengan yang lain”. Apabila ditanya kenapa mesej itu selalu dikhotbahkannya; dia menjawab, “kerana itu adalah hukum yang terutama.”
Dari pembacaan kita ini, saya membawa kita untuk melihat 3:
1) Kita Perlu Mengasihi Satu Dengan Yang Lain - 1 Yohanes 3:11-13.
Yohanes mengingatkan umat Tuhan mengenai perintah baru untuk saling mengasihi yang Tuhan Yesus pesankan murid-mirid-Nya. Yesus memesan di Yohanes 13:34-35, “Inilah perintah baru yang Ku-berikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri. Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu murid-Ku.”
1 Yohanes 2:7, di awal suratnya ini, Yohanes juga telah mengingatkan bahawa perintah untuk saling mengasihi bukanlah berita baru atau perkara baru bagi orang-orang percaya yang membacane suratnya ini. Yohanes mengambil contoh hidup Kain yang telah membunuh adiknya, kerana adiknya hidup benar; Kain sebaliknya berbuat yang jahat. Jika ada dua orang adik-beradik yang hidup benar depan Allah, akan ada kasih. Yohanes juga berkata, agar kita tidak terkejut atau heran bila dunia membenci kita. Kerana seperti Kain dan adiknya Abel; dunia yang tidak mengenal kebenaran pasti akan membenci kamu yang hidup dalam kebenaran Allah; jadi janganlah kita heran, bila dunia membenci kita.
2) Kasih Adalah Tanda Hidup Yang Telah Dilahir Baru – 1 Yohanes 3:14-16.
Kasih adalah tanda orang yang telah dilahirkan baru. Ayat 14, “Kita tahu bahawa kita terus hidup dan tidak akan binasa kerana kita mengasihi saudara-saudara kita. Sesiapa yang tidak mengasihi saudaranya akan tetap dikuasai oleh maut.” Di ayat 15, orang yang membenci saudaranya dikatakan sebagai pembunuh; dan seorang pembunuh tidak mempunyai hidup yang kekal dalam dirinya. Dan di ayat 16, Yohanes mengambil kasih Kristus yang telah menyerah nyawa-Nya bagi kita sebagai contoh untuk kita dalam menghidupi kasih antara satu sama lain. Kita membaca di Roma 5:8, “Akan tetapi Allah menunjukkan kasih-Nya kepada kita, oleh karena Kristus telah mati untuk kita, ketika kita masih berdosa.”
3) Kasih Dengan Perbuatan dan Dalam Kebenaran – 1 Yohanes 3:17-18.
Kasih bukan hanya perasaan. Kasih ditunjukkan dengan perbuatan. Dalam ayat 17-18, Yohanes menulis, “Jika seorang yang berharta melihat saudaranya yang miskin memerlukan bantuan tetapi tidak mahu menolongnya, bagaimanakah kasih Allah dapat hidup dalam dirinya? Anak-anakku, janganlah kasih kita di mulut sahaja. Kita hendaklah kasih-mengasihi melalui perbuatan dan kebenaran yang sejati.” Disini, Yohanes mendorong kita untuk saling memperhatikan keperluan orang di sekeliling kita. Di akhir suratnya ini 1 Yohanes 4:21, Yohanes sekali lagi menyebut mengenai kehidupan saling mengasihi - “Kristus telah memberi kita perintah ini: Sesiapa yang mengasihi Allah mesti mengasihi saudaranya juga”, untuk menekankan kepada kita agar kita tetap hidup dalam saling mengasihi.
Tuhan Memberkati Semua.