Shalom!
Damai sejahtera untuk keluarga besarku yang dikasihi di dalam Tuhan Yesus Kristus.
Hari ini, 19 Mei, adalah harijadi saya. Saya mahu membawa kita untuk mengingat kasih kurnia Tuhan sentiasa dan secara khusus, setiap harijadi kita. Saya bersyukur kerana setiap harijadi dapat dikhususkan Tuhan untuk kita ingatkan dan hayati betapa besarnya kasih Tuhan dan anugerah-Nya sehingga saya dan kita semua dapat mengetahui dan mengenal Dia sebagai Pencipta kita. Dan seterusnya, sebagai Penyelamat kita. Nabi Yesaya dalam Yesaya 49:15-16 menulis kata-kata Tuhan begini, “Dapatkah seorang perempuan melupakan anak yang disusuinya, dan tidak menyayangi anak daripada kandungannya? Ya, dia mungkin akan lupa, tetapi Aku tidak akan melupakan engkau! Lihat, Aku telah melukiskan engkau di telapak tangan-Ku, tembok-tembok kotamu sentiasa ada di hadapan-Ku.” Di sini Tuhan meyakinkan kita bahawa Dia mengasihi kita dengan kasih yang abadi, bahkan, Dia telah melukis gambar kita di telapak tangan-Nya.
“Gambar kita di telapak tangan-Nya” mengingatkan kita kepada tangan yang berlubang paku; tentang kelahiranJuruselamat yang disalibkan agar kita ditebus. Firman Tuhan, Yohanes 3:16-17, merumuskan kasih Tuhan untuk kita begini, “Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal. Allah mengutus Anak-Nya ke dunia bukan untuk menghakimi dunia tetapi supaya melalui Dia, dunia ini diselamatkan.”
Saudara, Saudari, Keluarga besarku yang dikasihi, apapun yang kita hadapi dan tempuhi dalam perjalanan hidup ini, ingat bahawa mata Tuhan terarah kepada kita. Dia sendirilah yang telah memilih kita untuk diangkat sebagai anak-Nya, dengan keputusan Dia sendiri. Dalam kita masih berdosa Tuhan Yesus disalib agar kita ditebus. Dia telah memberi Roh Kudus-Nya sebagai meterai bahawa kita milik-Nya, (Efesus 1:3-14), terpujilah Tuhan! Ketika ini, saya bersama bapa saya di Borneo Medical Centre, Miri. Dia diwadkan sejak Ahad, 17 Mei 2020, dua hari yang lalu. Dan saya bersama dia untuk menjaga dia. Hari-hari kita berada dalam tangan Tuhan, dan saya mendapat kekuatan dari setiap dorongan yang anda telah sampaikan dan doa-doa yang anda nyatakan kepada Tuhan sentiasa.
Setiap langkah kita, dan hari-hari kita tidak terlindung dari pengetahuan Tuhan. Tetaplah teguh dalam pengakuan iman kita bahawa Allah mahatahu, dan rencana-Nya untuk kita adalah yang sangat baik. Seperti Pemazmur di Mazmur 139:13-16, mengisytiharkan, “Engkau menciptakan segala bahagian badanku; Engkau membentuk aku di dalam rahim ibuku. Aku memuji Engkau kerana Engkau menciptakan aku dengan baik dan luar biasa. Segala perbuatan-Mu ajaib dan mengagumkan. Aku benar-benar menyedarinya. Ketika tulang-tulangku dijadikan, dan dirangkaikan dengan teliti di dalam rahim ibuku, ketika aku tumbuh di sana secara rahsia, Engkau tahu bahawa aku di sana. Engkau melihat aku semasa aku dalam kandungan ibuku. Jangka masa hidupku sudah ditetapkan dan dicatat di dalam kitab-Mu, bahkan sebelum satu hari pun bermula.” (BM – Berita Baik). Allah lah yang mencipta kita dan tahu segala-galanya mengenai kita.
“Anda Sangat Dikasihi Tuhan”, itu adalah ungkapan untuk kita hayati dan simpan dalam hati, katakan, “Saya Dikasihi Tuhan”. Kepada diri kita sendiri. Kita harus yakin bahawa kita di kasihi.
Dengan itu saya mengajak kita untuk “tampil dengan berani ke hadapan takhta kasih kurnia, supaya kita mendapat belas kasihan dan kasih kurnia untuk menolong kita ketika kita memerlukannya”, Ibrani 4:16.
Tuhan memberkati kita semua.
Lydia.
19 Mei 2020.