Listen

Description

Shalom! Keluarga besarku yang dikasihi dalam Tuhan Yesus Kristus.

Dalam pertemuan kita kali ini, saya membawa kita membaca Mazmur bab yang pertama, dan menghayati satu perkara, “TUHAN Mengenal Jalan Orang Benar”, Mazmur 1:6.

“sebab TUHAN mengenal jalan orang benar, tetapi jalan orang fasik menuju kebinasaan”, Mazmur 1:6, ITB.

TUHAN mengenal jalan orang benar. Dan saya mahu kita bertanya kepada diri kita, “siapakah orang benar itu?” Saya percaya anda dapat dengan yakin mengatakan, bahawa diri anda sendirilah orang benar itu. Dan jika demikian, gantikan “orang benar” dalam ayat kita dengan nama anda. TUHAN mengenal jalan, “sebut nama anda”. Contoh, “TUHAN mengenal jalan Lydia.”

Firman Tuhan katakan, “Tidak ada yang benar, seorang pun tidak. Tidak ada seorang pun yang berakal budi, tidak ada seorang pun yang mencari Allah.” Roma 3:10-11. Jadi, jika tidak ada seorang pun yang benar, kenapa kita yakini bahawa kitalah orang benar dalam Mazmur bab 1 itu. Jawapannya, juga terdapat dalam petikan Roma 3:10-11 yang mengatakan “tidak ada yang benar” (ayat 10). Di ayat 11, dikatakan “tidak seorang pun yang mencari Allah”. Jika demikian, kenapa kita yakin? Keyakinan kita terletak dalam Firman Tuhan itu sendiri. Jika kita tidak dapat mencari dan seterusnya mengenal Allah, dengan usaha sendiri, maka segala-galanya terletak dalam tangan Tuhan.

Anda dapat meyakini bahawa andalah orang benar dalam Mazmur bab 1 itu kerana anda percaya bahawa Firman Tuhan benar. Firman Tuhan dalam Yesaya 53:6 katakan, “kita semua tersesat seperti domba, setiap orang menyimpang menurut jalannya sendiri, tetapi TUHAN telah menimpakan kepada-Nya kesalahan kita semua”. Tuhan Yesus-lah yang sebenar-sebenarnya orang benar dalam Mazmur 1. Itulah sebab Firman Tuhan katakan di 2 Korintus 5:21, “Dia yang tidak mengenal dosa telah dibuat-Nya menjadi dosa karena kita, supaya dalam Dia kita dibenarkan oleh Allah.”

Pembenaran anda dan kita semua adalah perbuatan Allah sendiri, keputusan yang Dia sendiri buat dalam kehendak-Nya sendiri. Tuhan Yesus Kristus-lah yang menjadi cara penebusan kita. Keyakinan kita adalah kerana, Roh Suci Allah yang diberi kepada kita sebagai meterai bahawa kita milik Tuhan; Efesus 1:3-14.

Jadi kita didalam Kristus, adalah orang benar itu. Mazmur 1:1-2 menyebut bahawa kita berbahagia atau diberkati kerana Firman Tuhan-lah dasar keyakinan kita. Mazmur 1:3, katakan kita “seperti pohon, yang ditanam di tepi aliran air, yang menghasilkan buahnya pada musimnya, dan yang tidak layu daunnya; apa saja yang diperbuatnya berhasil”.

Saudara, Saudari, Keluarga besarku yang dikasihi, yakinlah bahawa Tuhan mengenal anda, dan “TUHAN mengenal jalan orang benar”. Dan di Mazmur 37:23-24, Pemazmur katakan, “langkah seorang yang baik diperintahkan oleh TUHAN, dan Dia meredai jalan yang dilaluinya; kalaupun orang itu tergelincir, dia tidak akan rebah, kerana TUHAN menyokongnya dengan tangan-Nya.” Percayakanlah Firman Tuhan, Dia menyertai anda dan kita semua dalam perjalanan hidup ini. Dia mengenal kita dan mengenal jalan kita.

Hallelujah! Puji Tuhan.

Lydia.