Listen

Description

Shalom! Keluarga besarku yang dikasihi dalam Tuhan Yesus Kristus. Apa khabar semua?

Malam ini kita membaca Mazmur 117. Bab terpendek dalam Alkitab dengan 2 ayat sahaja. Ianya panggilan untuk semua suku bangsa untuk memuji Tuhan. Saya buat “Haleluya! Puji TUHAN!”sebagai tajuk perbualan kita.

Mazmur 117. "Pujilah TUHAN, hai segala bangsa, megahkanlah Dia, hai segala suku bangsa! Sebab kasih-Nya hebat atas kita, dan kesetiaan TUHAN untuk selama-lamanya. Haleluya!"

Mazmur 117 adalah panggilan untuk memuji Tuhan dan kenapa kita memuji Tuhan.

Ayat 1: Panggilan Untuk Semua Suku Bangsa Untuk Memujikan Tuhan.

Rasul Paulus dalam Roma 15:11 merujuk Mazmur 117 sebagai dasar keyakinannya bahawa semua suku bangsa diterima dan diselamatkan oleh kerana Yesus Kristus. Semua suku bangsa akan memuliakan Tuhan oleh kerana perbuatan Tuhan sendiri.

Rasul Yohanes mencatat pengelihatannya pada akhir zaman di Wahyu 7:9-10, seperti ini, “Selepas itu, aku melihat lagi. Kulihat lautan manusia, tidak terkira banyaknya, daripada segala bangsa, suku, kaum, dan Bahasa, berjubah putih dan memegang daun palma. Mereka semua berdiri di hadapan takhta dan Anak Domba. Mereka berseru dengan lantang, “Penyelamatan ada pada Allah kami yang bersemayam di atas takhta dan pada Anak Domba””

Ayat 2: Kenapa Semua Suku Bangsa Dipanggil Untuk Memuji Tuhan.

Pemazmur memanggil kita untuk memuji Tuhan, kerana “kasih-Nya melimpah kepada kita, dan kesetiaan Tuhan kekal selama-lamanya.” Firman Tuhan di Yohanes 3:16, “Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal.”

Maka, Mazmur 117 dapat kita lihat sebagai rumusan cerita Alkitab, iaitu, semua suku bangsa akan memuji dan memuliakan Tuhan kerena kasih-Nya terhadap semua bangsa. Tujuan Tuhan adalah mengalah kejahatan dan menebus suku-suku bangsa menjadi umat yang memuliakan Tuhan, satu umat yang mengasihi dan taat kepada Tuhan. Kita besyukur kerana, anda dan saya berada dalam cerita besar Tuhan ini.

Haleluya! Puji Tuhan!

Tuhan memberkati.

Lydia.