Listen

Description

Fungsi eksekutif merujuk kepada keupayaan kognitif yang dikendalikan oleh bahagian hadapan otak manusia. Keupayaan ini secara umumnya tidak dimiliki oleh haiwan lain, kecuali dalam bentuk yang sangat terhad pada spesies tertentu seperti burung gagak atau magpie. Dalam kalangan manusia, fungsi eksekutif telah dihuraikan melalui pelbagai model teoritikal. Model yang paling kerap saya jadikan rujukan ialah model yang dikemukakan oleh Professor Russell Barkley.

Menurut Professor Russell Barkley, fungsi eksekutif boleh dibahagikan kepada tujuh. Fungsi pertama ialah self-awareness atau kesedaran kendiri. Self-awareness merujuk kepada keupayaan seseorang individu untuk menyedari dirinya sendiri dalam sesuatu situasi. Individu tersebut mengetahui apa yang sedang dilakukannya, memahami konteks perbuatannya, serta mampu menilai kesan tingkah lakunya terhadap diri sendiri dan orang lain. Keupayaan ini membolehkan seseorang membuat pertimbangan sama ada sesuatu perbuatan itu baik atau buruk, bermanfaat atau memudaratkan, sebelum membuat keputusan untuk meneruskan atau mengubah tingkah laku berkenaan.

Bagi individu ADHD, gangguan pada fungsi eksekutif sering memberi kesan awal kepada self-awareness. Dalam bukunya Taking Charge of Adult ADHD, Professor Russell Barkley menjelaskan bahawa tahap kesedaran kendiri individu ADHD sehingga sekitar usia 30-an boleh berada pada tahap yang lemah atau tidak stabil. Keadaan ini menjadi antara sebab utama mengapa proses diagnosis ADHD, berdasarkan kriteria DSM-5, tidak bergantung sepenuhnya kepada laporan kendiri individu tersebut. Sebaliknya, maklumat daripada individu lain yang mengenali klien dengan baik diperlukan sebagai sumber sokongan dan pengesahan.

Hal ini berpunca daripada hakikat bahawa individu ADHD mungkin tidak mampu menilai dirinya secara objektif. Mereka mungkin tidak menyedari corak tingkah laku yang mengganggu orang lain, percakapan yang melukakan perasaan, atau kehadiran diri yang menimbulkan ketidakselesaan dalam situasi sosial. Kekurangan kesedaran ini bukan berpunca daripada niat yang buruk, tetapi daripada keterbatasan fungsi eksekutif itu sendiri.

Dalam konteks kehidupan dewasa, gangguan self-awareness ini menjadi cabaran besar, khususnya dalam hubungan sosial dan profesional. Apabila seseorang tidak mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk menilai kesan perbuatannya sendiri, proses menyesuaikan diri, membina hubungan, dan mengekalkan interaksi sosial yang sihat menjadi lebih sukar. Inilah cabaran asas pertama yang dihadapi oleh individu ADHD berkaitan fungsi eksekutif, sebagaimana dihuraikan dalam model Professor Russell Barkley.

Sebagai Muslim, self awareness ini mempunyai hubungan kuat dengan sendi takwa yang menjadi asas fungsi kita sebagai Muslim. Di dalam dialog antara Umar bin al-Khattab RA bersama Ubay bin Ka'ab RA, pertanyaan Umar tentang makna takwa dijawab dalam bentuk soalan oleh Ubay. Beliau bertanya kepada Umar:

"Pernahkah engkau melalui lorong yang berduri?"

Umar menjawab, "sudah tentu!"

Ubay bertanya, "apa yang engkau lakukan?"

Umar menjawab, "aku akan mengangkat sedikit pakaianku dan melangkah dengan berhati-hati."

Ubay merumus penjelasannya, "itulah yang dimaksudkan dengan takwa!"

Individu bertakwa bermaksud seseorang itu berada di dalam keadaan sedar tentang kondisi dirinya dan sekeliling. Hasil kesedaran itu, seseorang menjadi lebih berkeupayaan mengawal diri.

Beza takwa dengan self awareness di dalam sains kognitif, takwa menyandar kesedaran itu kepada hubungan seseorang bukan terhad hanya kepada diri sendiri dan sekeliling, tetapi juga Pencipta, Tuhan yang ditaatinya dalam hidup ini.

#adhd #adhddewasa #adhdmalaysia #hasrizalabduljamil



Get full access to ADHD at adhddewasa.substack.com/subscribe