Listen

Description

Individu dengan ADHD lazimnya berhadapan dengan cabaran yang berpunca daripada gangguan fungsi eksekutif. Dalam konteks ibadah, misalnya solat, seseorang mungkin melengahkannya atau terlupa menunaikannya, bukan kerana sengaja atau niat untuk mengabaikan kewajipan tersebut.

Namun, tanpa diagnosis ADHD, perkara ini sering dinilai dari sudut moral semata-mata.

Kesalahan tersebut dilihat sebagai perbuatan sengaja melengahkan solat, sedangkan al-Quran sendiri memberi peringatan keras terhadap golongan yang melalaikan solat. Penilaian seperti ini, apabila berulang, boleh memberi kesan mendalam terhadap harga diri dan moral individu ADHD yang berusaha menjadi seorang Muslim yang baik.

Apabila kita memahami bagaimana otak sebenarnya berfungsi, gambaran ini menjadi lebih jelas. Untuk mengingati sesuatu, otak perlu mengekalkan maklumat dalam working memory, dan proses ini bergantung kepada tahap neurotransmiter yang mencukupi. Dalam kes individu ADHD, termasuk pengalaman saya sendiri, terdapat kekurangan neurotransmiter tertentu. Akibatnya, maklumat seperti “lima minit lagi masuk waktu solat” atau “siapkan sedikit lagi kerja sebelum bersiap untuk solat” gagal kekal dalam working memory. Maklumat tersebut mudah digantikan dengan rangsangan lain, lalu terus hilang daripada kesedaran.

Inilah yang menyebabkan berlakunya terlupa solat, lambat solat, terlupa temu janji, dan lambat menghadiri temu janji. Apabila semua ini dikumpulkan dan dinilai tanpa konteks neurologi, individu tersebut mudah dilabel sebagai tidak berdisiplin, tidak menepati janji, malah dianggap munafik atau sekadar pandai berkata-kata. Kesannya, keseluruhan identiti moral seseorang seolah-olah “dibungkus” dengan label negatif.

Hakikatnya, keadaan ini bukan sepenuhnya pilihan individu tersebut. Di sinilah pentingnya kefahaman tentang ADHD dan konsep taklif, agar kita dapat membezakan antara kecuaian yang disengajakan dan keterbatasan neurologi yang sebenar. Tanpa kefahaman ini, bukan sahaja fungsi harian terjejas, bahkan maruah dan moral seseorang turut tercedera.

Individu ADHD perlu memindahkan beban mengingati sesuatu daripada memori kerjanya yang berdepan cabaran, kepada alat luaran yang boleh membina bunyi dan visual. Kalendar bercetak, aplikasi solat bersama kalendar digital, antara alat yang boleh dimanfaatkan untuk mengingatkan kita.

Apatah lagi insan tersayang atau sahabat karib yang sudi membantu.



Get full access to ADHD at adhddewasa.substack.com/subscribe