Listen

Description

Mengapa proses menulis puluhan buah buku tidak sama dengan proses menulis sebuah tesis? Sebelum mendapat diagnosis ADHD, saya sendiri tidak mampu menjelaskan mengapa saya, sebagai seorang penulis buku, gagal menyiapkan penulisan tesis. Apabila pensyarah menasihati agar saya mengurangkan ceramah dan lebih fokus kepada penulisan, saya menerimanya sebagai satu penjelasan, walaupun jauh di sudut hati saya tahu realitinya tidak begitu. Saya bukan mengabaikan pelajaran semata-mata kerana kesibukan bekerja.

Selepas menerima diagnosis, barulah saya memperoleh bahasa untuk menerangkan masalah sebenar yang saya hadapi. Ia adalah ADHD. Namun begitu, istilah ADHD itu sendiri tidak sepenuhnya tepat untuk menggambarkan cabaran sebenar yang dialami. Gangguan ini lebih jelas dan bermakna jika difahami sebagai Executive Functions Deficit Disorder. Hampir semua kesukaran yang dialami oleh individu ADHD berpunca daripada satu teras utama, iaitu gangguan fungsi eksekutif.

Fungsi eksekutif ialah fungsi kognitif aras tinggi yang membolehkan manusia mengawal diri sendiri, merancang, mengekalkan fokus, mengurus emosi, dan menunda kepuasan. Russell Barkley menghuraikan tujuh komponen utama fungsi eksekutif. Antaranya ialah inhibition, iaitu keupayaan seseorang untuk mengawal diri daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya atau tidak diperlukan pada sesuatu ketika.

Apabila fungsi inhibition ini terganggu, proses penulisan tesis menjadi sangat mencabar. Dalam usaha membuat rujuk silang artikel ilmiah, saya sering terperangkap dalam apa yang sering digambarkan sebagai rabbit hole. Ia berlaku berulang kali, seolah-olah wujud satu gelung yang menghanyutkan perhatian saya jauh daripada fokus asal penulisan tesis atau tugasan penyelidikan. Inilah realiti gangguan fungsi eksekutif yang tidak kelihatan, tetapi sangat memberi kesan.

Terima kasih kepada Dr. Munira Razak, Pengarah @ppiumpsatv2701, yang telah menemu bual saya dalam audio siar ini dan memberi ruang untuk pengalaman ini dikongsikan.

#adhddewasa #adhdmalaysia #pendidikaninklusif #pendidikankhas #fungsieksekutif



Get full access to ADHD at adhddewasa.substack.com/subscribe