Hari ini saya tidak berjaya merakam dan menyunting video untuk siri “Ramadan, al-Quran and I – Day 6.”
Bukan kerana ketiadaan idea. Bukan juga kerana ketiadaan niat. Tetapi kerana hari ini adalah hari pertama tanpa mengambil stimulan.
Pada hari-hari sebegini, saya merasakan satu beban yang sukar diterjemahkan. Kerja yang memerlukan pembacaan mendalam, penyusunan hujah, refleksi berlapis dan pemikiran abstrak terasa sangat berat. Seolah-olah setiap langkah kognitif memerlukan tenaga yang berganda.
Mungkin ada yang bertanya:“Dulu sebelum diagnosis, boleh sahaja buat kerja. Mengapa sekarang tidak boleh?”
Soalan itu munasabah.
Secara teorinya, jika saya memaksa diri, mungkin saya boleh juga merakam dan menyunting video itu. Tetapi ia akan berlaku dalam seribu kepayahan. Setiap ayat perlu ditarik keluar dengan paksa. Setiap keputusan kecil menjadi pergulatan. Setiap gangguan kecil menjadi halangan besar.
Di sinilah pentingnya kita memahami ADHD bukan sebagai isu motivasi, tetapi sebagai isu pengawalan diri.
ADHD dan Hakikat Kawalan Diri
Russell A. Barkley menegaskan bahawa ADHD bukan sekadar gangguan perhatian. Dalam karyanya ADHD and the Nature of Self-Control (1997), beliau menghuraikan bahawa teras gangguan ini ialah kelemahan dalam inhibisi tingkah laku dan seterusnya gangguan kepada fungsi eksekutif.
Beliau menggariskan bahawa kawalan diri manusia bergantung kepada beberapa fungsi utama:
* Keupayaan untuk berhenti sebelum bertindak
* Keupayaan untuk menggunakan “mata minda” untuk melihat masa depan
* Keupayaan untuk bercakap kepada diri sendiri secara dalaman
* Keupayaan mengawal emosi
* Keupayaan menyusun dan menyelesaikan masalah secara mental
Apabila inhibisi terganggu, keseluruhan rantaian ini terjejas.
Dalam keadaan tanpa ubat, saya bukan tidak mahu berfikir. Tetapi keupayaan untuk menahan gangguan, mengekalkan hala tuju mental dan menggerakkan pemikiran ke arah matlamat jangka panjang menjadi sangat lemah.
Itulah sebabnya kerja intelektual terasa jauh lebih berat berbanding kerja fizikal.
ADHD Semakin Ketara Dengan Usia
Ramai menyangka ADHD akan “hilang” apabila dewasa. Hakikatnya, ia berubah bentuk.
Dalam ADHD in Adults: What the Science Says dan Taking Charge of Adult ADHD, Barkley menghimpunkan bukti bahawa simptom dewasa lebih berkait dengan kelemahan fungsi eksekutif berbanding hiperaktif fizikal. Tuntutan kehidupan dewasa yang semakin kompleks menyebabkan impairment menjadi lebih nyata.
Dalam 10 tahun kebelakangan ini, saya mengalami beberapa perubahan yang jelas:
* Percakapan menjadi lebih perlahan
* Kerap tergigit lidah ketika bercakap
* Kemalangan kecil yang berulang
* Kecuaian motor halus
Saya perlu gunakan dapatan sains untuk self talk bahawa realiti hari ini bukan kemerosotan akhlak, bukan kelemahan spiritual. Ini adalah manifestasi gangguan neurokognitif yang berkait dengan pengawalan diri dan perancangan motor.
Jangan Terburu-Buru Melabel Diri Sendiri
Bagi anda yang tertanya-tanya sama ada anda mempunyai ADHD, janganlah terus melakukan self-claim. Proses penilaian profesional adalah sangat menyeluruh dan tidak boleh digantikan dengan senarai semak di internet.
Dalam karya-karya klinikalnya, termasuk Taking Charge of Adult ADHD dan When an Adult You Love Has ADHD, Barkley menekankan bahawa diagnosis ADHD melibatkan:
* Penggunaan rating scales yang disahkan secara saintifik
* Temu bual klinikal yang mendalam
* Semakan sejarah perkembangan sejak zaman kanak-kanak
* Bukti bahawa simptom telah wujud sebelum usia 12 tahun
* Penilaian impairment dalam sekurang-kurangnya dua domain kehidupan
* Pemeriksaan gangguan lain yang mungkin menjelaskan simptom tersebut
Beliau sering mengingatkan bahawa ramai orang menyangka mereka mempunyai ADHD, sedangkan masalah sebenar adalah faktor lain.
Beberapa contoh realistik yang sering dikemukakan termasuk:
JoeJoe menyangka dirinya ADHD kerana gagal mencapai standard akademik yang sangat tinggi. Dia seorang yang cerdas, tetapi gagal subjek Kimia Organik sebanyak tiga kali. Masalahnya bukan ADHD. Subjek itu melebihi kekuatan dan minat kognitifnya. Kegagalan bukan bukti gangguan neuroperkembangan.
CarrieCarrie mempunyai IQ yang tinggi dan gagal mengekalkan pekerjaan. Dia menyangka ADHD sebagai puncanya. Namun penilaian mendapati masalah utamanya ialah kegelisahan yang melampau. Kebimbangan itulah yang melumpuhkan fokus dan kestabilan kerjanya, bukan ADHD.
CalCal merasa hidupnya tidak memuaskan. Tiada hubungan romantik yang stabil, kerjaya buntu, dan rasa rendah diri yang mendalam. Dia mencari label ADHD sebagai penjelasan kepada ketidakpuasan dirinya terhadap pencapaian hidup. Tetapi masalahnya lebih berkait dengan jangkaan diri yang tidak realistik dan isu emosi.
Contoh-contoh ini penting kerana ADHD bukan diagnosis yang boleh dibuat berdasarkan rasa kecewa terhadap hidup.
ADHD Bukan “Superpower”
Media sosial dipenuhi dengan mesej ADHD sebagai sebagai “superpower.” Disebut bahawa tokoh-tokoh hebat memiliki ADHD, maka ADHD dianggap sumber kreativiti.
Soalan yang lebih jujur ialah:
Adakah ADHD yang menjadikan mereka kreatif dan berjaya?Atau mereka berjaya walaupun mempunyai ADHD?
Tiada bukti saintifik bahawa ADHD secara intrinsik menjadikan seseorang genius. Apa yang ada ialah bukti bahawa ADHD meningkatkan risiko kegagalan akademik, masalah pekerjaan, konflik hubungan, kemalangan dan gangguan komorbid seperti kemurungan dan kegelisahan.
Hidup tanpa ADHD adalah jauh lebih baik berbanding hidup dengannya.
Jadikan ADHD Kemungkinan Terakhir
Jika sahabat tertanya-tanya tentang diri sendiri, jadikan kemungkinan ADHD sebagai kemungkinan terakhir setelah faktor lain diperiksa sepenuhnya:
* Stres kronik
* Gangguan tidur
* Kegelisahan
* Kemurungan
* Trauma
* Standard pencapaian diri yang terlalu tinggi
Diagnosis ADHD memerlukan bukti pola simptom yang konsisten sejak kecil dan impairment yang nyata dalam pelbagai domain kehidupan.
Label bukan penyelesaian.Penilaian profesional yang teliti adalah keperluan.
Refleksi Hari Ini
Hari ini saya tidak menghasilkan video.
Tetapi hari ini saya belajar sesuatu yang penting:
* Ubat bukan jalan pintas.
* Ubat ialah alat untuk memulihkan fungsi yang terganggu.
* Tanpa fungsi eksekutif yang stabil, niat tidak mencukupi.
ADHD bukan isu semangat. Ia isu mekanisme neurobiologi.
Memahami mekanisme itu menjadikan kita lebih berbelas kasihan terhadap diri sendiri, serta lebih berhati-hati daripada terperangkap dalam naratif romantik yang tidak berasas.
Hari ini bukan kegagalan.
Ia peringatan bahawa kawalan diri ialah fungsi biologi yang rapuh, dan bahawa sains membantu kita memahaminya dengan lebih jujur.
Bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama-sama mereka yang bersabar.
Hasrizal Abdul Jamiladhddewasa.hasrizal.com