Seni Menyantuni Minda: Dialog Nabi SAW, Autisme, dan Jambatan Empati
Dalam Islam, prinsip kemudahcara (taysir) dan fleksibiliti sangat diraikan.
Jika tidak mampu solat berdiri, boleh duduk. Jika tidak mampu duduk, boleh berbaring.
Begitu juga dengan puasa; tempohnya bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Namun, bayangkan jika kita berada di Finland yang siangnya mencecah 22 jam. Jika dipaksa berpuasa mengikut jam tempatan sepenuhnya tanpa kelonggaran, mungkin “tinggal sekeping” lah jawabnya!
Maka, Islam menyediakan Qawaid Fiqhiyyah (kaedah-kaedah fiqh) sebagai alat penyelesaian masalah:
المشقة تجلب التيسير
“Kesukaran itu membawa kepada kemudahan.”
Sifat menyantuni ini jelas terpancar dalam sirah Nabi SAW. Terdapat sebuah hadis masyhur tentang seorang pemuda yang datang meminta izin untuk berzina. Reaksi sahabat ketika itu tentulah marah dan hampir menghalang pemuda tersebut. Namun, Nabi SAW dengan tenang memanggil pemuda itu mendekat. Apa yang Baginda lakukan seterusnya adalah satu bentuk pendidikan karakter yang luar biasa menerusi dialog.
Mengapa Dialog?
Mungkin ada yang bertanya: Mengapa kita perlukan pendidikan karakter sedangkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, dan Sivik sudah ada?
Kita perlu jujur bertanya, walaupun semua pendidikan itu ADA, sudah berjayakah pendidikan itu menyerlahkan ke’ada’annya selama ini? Jika subjek makin banyak tetapi kesannya semakin merosot, berhenti sebentar daripada bertengkar dan berbantah. Tanya, apakah ada sesuatu yang ‘tidak ada’ di celah ‘ada ‘yang disebutkan tadi?
Hakikatnya, akhlak tidak terbentuk semata-mata dengan maklumat atau arahan “buat ini, jangan buat itu.”
Ia perlu dicerakinkan dalam minda agar difahami secara mendalam. Kanak-kanak atau remaja mempunyai cara pemprosesan maklumat yang berbeza daripada orang dewasa. Di sinilah dialog berfungsi untuk memahamkan mereka tentang kenapa sesuatu perkara itu dilarang.
Dalam kes pemuda tadi, Nabi SAW tidak memberikan nasihat kesihatan seperti, “Kurangkan makan kambing supaya nafsu tidak membuak.” Sebaliknya, Baginda menggunakan teknik dialog logik (reasoning / mantik). Baginda bertanya: “Adakah kamu suka perbuatan itu dilakukan kepada ibumu? Kepada anak perempuanmu?” Pemuda itu menjawab, “Tidak, demi Allah.”
Jambatan Pemikiran dan Autisme
Pendekatan Nabi SAW ini adalah model yang sangat mesra dengan cara pemikiran yang, secara kebetulan, sangat relevan dengan individu autistik. Walaupun kita tidak mengatakan pemuda tersebut autistik, kaedah yang digunakan Baginda menangani isu teras yang sering dihadapi dalam spektrum autisme: Theory of Mind (ToM).
ToM adalah keupayaan untuk memahami fikiran, perspektif, dan perasaan orang lain. Individu autistik sering menghadapi cabaran dalam Empati Kognitif (iaitu sukar mengagak apa yang orang lain fikirkan). Namun, ini tidak bermakna mereka “tiada perasaan.” Sebaliknya, mereka sering mempunyai Empati Afektif yang kuat; mereka boleh turut berasa sedih jika melihat orang lain sedih, cuma mereka mungkin tidak tahu cara memproses atau menunjukkannya secara sosial.
“Terbalikkan Meja”: Mengubah Perspektif
Jika seorang pendidik berkata, “Cikgu sedih awak tak siap kerja rumah sebab cikgu dah tolong awak,” murid autistik mungkin sukar memproses emosi abstrak tersebut. Maka, pendidik perlu “terbalikkan meja” dengan mengubah perspektif kepada diri pelajar itu sendiri.
Contohnya:
* “Kalau cikgu janji nak tolong kamu, tapi cikgu tak buat, cikgu orang baik ke jahat?” (Jahat).
* “Kamu suka orang jahat?” (Tak suka).
* “Jadi, kalau kamu janji nak buat kerja rumah tapi tak buat, itu baik ke jahat?”
Dengan cara ini, situasi itu bukan lagi tentang perasaan cikgu semata-mata, tetapi tentang prinsip logik dan kendiri. Inilah yang kita temui melalui apa yang Nabi SAW lakukan; mengubah isu zina yang asalnya masalah “orang lain”, menjadi masalah yang menyentuh maruah keluarga pemuda itu sendiri menerusi prinsip ketersalingan (reciprocity).
Perkaitan dengan Intervensi Moden
Teknik dialog Nabi SAW ini sebenarnya selari dengan beberapa konsep sains sosial dan intervensi moden:
* Social Stories™ (Cerita Sosial): Teknik ini membantu individu autistik memahami situasi sosial dengan memberikan maklumat objektif tentang apa yang berlaku dan mengapa. Dialog Nabi SAW yang menggunakan soalan-soalan perspektif adalah bentuk intervensi yang sangat efektif untuk membina kefahaman sosial secara eksplisit.
* Double Empathy Problem (Masalah Empati Berganda): Sering kali, masalah komunikasi timbul bukan hanya kerana orang autistik tidak faham orang tipikal, tetapi kerana orang tipikal gagal memahami cara orang autistik berfikir. Nabi SAW menyelesaikan masalah ini dengan tidak memaksa pemuda itu memahami “hukum” secara abstrak, sebaliknya Baginda “turun” ke tahap pemikiran pemuda itu menggunakan analogi yang logik.
* Keadilan dan Ketegasan Moral (Moral Rigidity): Individu autistik cenderung sangat berpegang kepada peraturan sebaik sahaja mereka memahaminya secara logik. Apabila logik “kamu tak suka orang buat pada ibu kamu, maka jangan buat pada orang lain” dibentuk, ia menjadi satu peraturan struktur yang sangat kukuh dalam minda mereka.
Hasilnya? Pemuda tersebut bukan sahaja faham secara intelek, malah niat buruknya hilang secara total. Pendekatan yang berasaskan kasih sayang, logik, dan penghormatan terhadap cara fikir individu inilah yang menjadikan pendidikan karakter itu berkesan dan inklusif.
Paling utama, pendidikan inklusif versi Nabi SAW disempurnakan dengan doa baginda kepada Allah SWT.
Lengkap.
Dunia dan Akhirat bersama-sama.
Hasrizal Abdul Jamiladhddewasa.substack.com
Rujukan
Al-Mubarakfuri, S. R. (2002). The sealed nectar: Biography of the Noble Prophet. Darussalam Publishers.
Baron-Cohen, S. (2001). Theory of mind in normal development and autism. Prisme, 34(1), 174–183.
Gray, C. (2010). The new social story book (10th anniversary ed.). Future Horizons.
Milton, D. E. (2012). On the ontological status of autism: The ‘double empathy’ problem. Disability & Society, 27(6), 883–887. https://doi.org/10.1080/09687599.2012.710008
Musnad Ahmad. (n.d.). (Hadis No. 22211). (S. Al-Albani & S. Al-Arna’ut, Eds. & Trans.). Kaherah: Dar al-Hadith. (Karya asal diterbitkan sekitar 800–845).
Smith, A. (2009). The empathy imbalance hypothesis of autism: A theoretical approach to cognitive and emotional empathy in autistic development. The Psychological Record, 59(3), 489–510. https://doi.org/10.1007/BF03395675