Listen

Description

Senang-senang sahaja membuat keputusan untuk tidak berpuasa di bulan Ramadan.

Ada exam!

Ada minggu orientasi kampus.

Aduh!

Penyakit apakah ini?

Saya sentuh perkara ini lama sebelum saya mengenal ADHD. Saya menulis buku Transformasi Ramadan pada tahun 2011 (diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd.) dan di dalamnya ada satu bab khusus membicarakan senario anak muda yang sewenang-wenang menjadikan sedikit cabaran tambahan berbanding hari biasa, sebagai alasan untuk tidak berpuasa.

Membaca kembali cacatan semasa itu, saya dapat melihat bahasa saya sebagai undiagnosed ADHD. Intonasinya agak garang kerana sukar mengawal rasa marah dengan perbuatan meremeh-remehkan hukum agama dan tanpa segan silu secara terbuka berkongsi mengenainya di media sosial pada era berkenaan.

Hari ini, ia semakin melarat.

ADHD pula diangkat sebagai satu lagi alasan untuk mengecualikan diri daripada ibadah puasa.

Islam agama yang tidak sama-sekali bermaksud memberat-beratkan. Ia praktikal. Ia mudah.

Tetapi mudah adalah sangat berbeza dengan bermudah-mudah.

Mudah ditentukan oleh disiplin ilmu.

Bermudah-mudah dibentuk oleh kejahilan dan hawa nafsu.

Saya cuba regulasi emosi sendiri dengan menyusun perbahasan panjang lebar. Lebih panjang, mudah-mudahan lebih luas ruang bernafas untuk bertenang dan meneruskan agenda pendidikan sebagai jalan islah.

1. ADHD Bukan “Tiket Percuma” untuk Tidak Berpuasa (Kecuali...)

Satu salah faham yang besar ialah menganggap bahawa mempunyai diagnosis neurodiversiti seperti ADHD secara automatik meletakkan seseorang dalam kategori “tidak mukallaf” (tidak memikul tanggungjawab syarak) atau disamakan dengan orang gila (majnun).

Ini tidak benar.

Individu dewasa dengan ADHD lazimnya masih memiliki akal yang waras. Dalam istilah fiqh, mereka mempunyai tamyiz (kemampuan membezakan baik dan buruk) dan idrak (kefahaman). Kajian fiqh semasa mengklasifikasikan gangguan seperti ADHD dan autisme berfungsi tinggi sebagai mereka yang mempunyai Ahliyyah al-Ada’ al-Kamilah (kapasiti pelaksanaan penuh) selagi akal mereka berfungsi (Masykur et al., 2025).

“Akal adalah sandaran taklif (tanggungjawab agama). Maka barangsiapa yang kehilangan akalnya, tiada taklif ke atasnya.” (Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, 2022).

Petikan ini menegaskan bahawa selagi akal masih berfungsi untuk memahami arahan Tuhan, kewajipan tidak gugur. ADHD adalah cabaran pengurusan diri dan eksekusi, bukan ketiadaan akal secara mutlak.

2. “Lupa Makan Ubat” Bukan Alasan Remeh, Ia Isu Fiqh yang Serius

Bagi individu neurotipikal (orang biasa), terlupa sedikit perkara mungkin remeh. Tetapi bagi individu ADHD, kebergantungan kepada ubat psikostimulan adalah kritikal untuk fungsi harian dan kestabilan mental.

Di sini, Islam mempamerkan sifat rahmah-nya melalui prinsip Maqasid Syariah, iaitu memelihara nyawa (hifz al-nafs) dan akal (hifz al-aql). Jika berpuasa menghalang pengambilan ubat yang sangat diperlukan sehingga boleh memudaratkan diri, hukum rukhsah (keringanan) boleh terpakai (Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, 2019). Ini bukan bermakna mereka “ponteng” puasa, tetapi diberi kelonggaran atas sebab perubatan yang sah jika disahkan oleh pakar.

Berhubunglah dengan doktor pakar yang menguruskan preskripsi masing-masing untuk mendapatkan nasihat.

Sekurang-kurangnya, bagi individu ADHD Muslim di Malaysia, jadual Ramadan konsisten setiap tahun dan ia tidak berubah-ubah secara agresif akibat perbezaan ekstrim waktu siang dan malam sebagaimana yang pernah dialami di negara-negara Himesfera Utara sebelum ini. Ia adalah cabaran yang mula dihadapi oleh mereka yang berpuasa di musim panas bagi negara Himesfera Selatan seperti Australia, New Zealand, Argentina dan lain-lain.

Jadual yang konsisten memudahkan perancangan.

Ambil peluang ini.

3. Masalah Fokus dalam Solat dan Puasa Bukan Tanda “Lemah Iman”

Sering kali, individu ADHD dituduh tidak khusyuk atau malas kerana sukar kekal fokus semasa solat Tarawih yang panjang atau terlupa niat puasa. Sebenarnya, ini adalah gejala neurobiological, bukan masalah spiritual semata-mata.

Kajian menunjukkan bahawa ADHD melibatkan perubahan neurobehavioral seperti defisit memori dan impulsiviti (Binti Ibrahim, 2024). Islam mengiktiraf kesukaran (masyaqqah) ini. Prinsip Al-Mashaqqah Tajlib al-Taysir (kesukaran mendatangkan kemudahan) membolehkan penyesuaian dalam ibadah (Karim, 2025).

“Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.” (Surah Al-Baqarah, 2:286)

Ini bermakna, usaha individu ADHD yang bergelut untuk fokus mungkin lebih bernilai di sisi Allah berbanding mereka yang mudah melakukannya. Kualiti ibadah mereka dinilai berdasarkan jihad (perjuangan) mereka melawan fitrah otak mereka sendiri.

Nilai khusyuk di dalam solat dipuji oleh Allah SWT dan harus menjadi nilai idaman yang diusahakan sepanjang hayat. Tetapi syariat Islam tidak pernah menjadikan khusyuk sebagai syarat sah solat kerana ia tidak munasabah.

“Lebih baik tak solat daripada solat tetapi tidak khusyuk!” adalah kenyataan yang salah sama sekali. Malah boleh menjadi belitan Iblis yang menyesatkan kita.

4. Impulsiviti Boleh Membatalkan Pahala, Tapi Ada Pengecualiannya

Salah satu ciri utama ADHD adalah impulsiviti, bertindak tanpa berfikir panjang. Dalam bulan Ramadan, ini boleh menjadi risiko besar, seperti terbatal puasa kerana makan secara tidak sedar atau meletusnya kemarahan yang tidak terkawal.

Dalam perbincangan fiqh, wujud konsep Ighlaq (tertutup akal akibat kemarahan atau tekanan melampau). Jika individu neurodiversiti, khususnya Autisme, mengalami meltdown atau serangan panik sehingga hilang kawalan diri sepenuhnya, tindakan mereka pada waktu itu (seperti terlafaz kata-kata buruk atau bertindak agresif) mungkin tidak dikira sebagai dosa atau membatalkan status hukum tertentu kerana ketiadaan niat yang sedar pada ketika itu (JKN Fatawa, 2024).

Namun, ini bukan lesen untuk bertindak semberono. Ia adalah peringatan untuk membina strategi pencegahan, seperti menjauhi pencetus (triggers) yang boleh menyebabkan hilangnya kawalan diri. Kenali punca-puncanya, dan bertindak secara proaktif untuk meminimumkan risiko. Ini masih berada di dalam lingkungan upaya individu ADHD dewasa seperti kita.

5. Struktur Rutin Adalah “Ibadah” Bagi Mereka

Bagi individu ADHD, struktur bukan sekadar jadual; ia adalah seumpama talian hayat untuk berfungsi di bulan Ramadan. Kegagalan merancang sahur atau waktu berbuka boleh menyebabkan gangguan fungsi sepanjang hari.

Mencipta rutin Ramadan yang mesra ADHD, seperti menggunakan penggera visual untuk waktu solat dan berbuka, adalah satu bentuk usaha untuk memelihara agama (hifz al-din). Malah, kajian mendapati bahawa amalan berstruktur seperti solat dan zikir boleh membantu meningkatkan tumpuan dan mengurangkan gejala impulsiviti, sekaligus bertindak sebagai terapi rohani dan mental (Binti Ibrahim, 2024).

Jika dalam pendidikan, kita kenal istilah study buddy atau body doubling, mungkin Ramadan kali ini kita boleh ada ‘sahur buddy’ untuk sokong menyokong satu sama lain bangun bersahur. Boleh juga dilanjutkan kepada ibadah puasa, berbuka puasa hingga ke qiyam Ramadan seluruhnya.

Renungan Terakhir

Islam tidak pernah melihat manusia sebagai satu acuan yang sama. Jika Allah menciptakan otak manusia dengan pelbagai variasi (neurodiversiti), sudah pasti Allah juga menyediakan ruang dalam syariat-Nya untuk menyantuni kepelbagaian tersebut.

Bagi kita masyarakat sekeliling, persoalannya bukanlah “mengapa dia tidak boleh berpuasa seperti orang lain?”, tetapi “bagaimana kita boleh menyokongnya untuk menunaikan hak Allah mengikut kemampuan uniknya?” Ramadan adalah bulan rahmah; pastikan rahmah itu sampai kepada semua, termasuk mereka yang berjuang dalam diam dengan fungsi otak mereka sendiri.

Pada masa yang sama, perbuatan bermudah-mudah dengan ibadah puasa di bulan Ramadan, membuat pendirian untuk tidak berpuasa tanpa mengambil kira disiplin ilmu agama dan sains, hanya akan menjadi senjata makan tuan kepada individu ADHD. Dalam cabaran sedia ada pada memahamkan masyarakat mengenai cabaran dan realiti hidup individu ADHD, kanak-kanak dan dewasa, senario tidak sihat ini menyebabkan penjelasan ditenggelamkan oleh ALASAN, walaupun sekadar sebuah persepsi.

Rujukan

* Binti Ibrahim, N. A. (2024). An Islamic wholly understanding of Attention Deficit/Hyperactivity Disorder (ADHD). Zuriah: Jurnal Pendidikan Anak Usia Dini, 5(1). https://doi.org/10.29240/zuriah.v5i1.9778

* Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. (2019, Julai 3). Bayan Linnas siri ke-189: Maqasid syariah dalam perubatan. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/3543-bayan-linnas-siri-ke-189-maqasid-syariah-dalam-perubatan

* Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. (2022, Julai 19). Irsyad Hukum siri ke-702: Kewajipan solat bagi golongan yang memiliki aqal yang lemah. https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-hukum/umum/5361-irsyad-hukum-siri-ke-702-kewajipan-solat-bagi-golongan-yang-memiliki-aqal-yang-lemah

* JKN Fatawa. (2024, Mac 20). The Islamic legal status of an autistic husband’s divorce: A detailed case study. https://jknfatawa.co.uk/wp-content/uploads/2021/02/The-Legal-Status-of-an-Autistic-Husbands-Divorce-A-Case-Study_1_11zon.pdf

* Karim, F. (2025). Application of the Islamic legal maxim “hardship begets ease” to mitigate hardship in the religious practices of the elderly Muslims. International Journal of Fiqh and Usul Al-Fiqh Studies, 9(3), 146–158. https://doi.org/10.31436/ijfus.v9i3.413

* Masykur, F., Hikam, A. B., & Amin, M. (2025). Taklif and the fulfillment of the rights of persons with mental and intellectual disabilities: An Islamic legal perspective. Al-Qadha: Jurnal Hukum Islam Dan Perundang-Undangan, 12(2), 309–331. https://doi.org/10.32505/qadha.v12i2.11334



Get full access to ADHD at adhddewasa.substack.com/subscribe