Walaupun ADHD sudah beberapa kali bertukar nama, Profesor Russell Barkley berpendapat, tidak mengapa nama ADHD itu dikekalkan walaupun tidak tepat pada menjelaskan maksud kelainan neurologi ini. Jika ditukar nama lain, ia akan membabitkan proses pindaan akta, polisi dan macam-macam lagi. Ini mendedahkan individu kepada banyak risiko berkaitan diagnosis dan intervensi semasa yang mereka bergantung kepadanya saban hari. Mudarat menukar nama lebih besar berbanding manfaat menepatkan istilah.
ADHD merujuk kepada kelainan atau gangguan kepada fungsi eksekutif seseorang. Fungsi eksekutif (executive functions) merujuk kepada perkara yang kita lakukan kepada diri kita sendiri, di bahagian otak. Misalnya fungsi mengawal diri daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya, mengawal emosi, memotivasi diri, mengingati maklumat di memori kerja, merancang masa dan lain-lain. Fungsi-fungsi ini dilakukan oleh bahagian hadapan otak manusia. Di situlah, individu ADHD mengalami kelainan atau gangguan.
Bahagian otak hadapan itu adalah bahagian otak unik yang Tuhan jadikan hanya berfungsi penuh di dalam spesis manusia. Ia memakan masa yang lama untuk tumbuh dan siap. Lelaki dan perempuan mencapai proses tumbuh yang lengkap di sekitar usia 22-25 tahun, dengan perempuan lazimnya siap lebih awal berbanding lelaki. Maknanya, jika individu itu bukan ADHD sekali pun, kerja-kerja membabitkan fungsi eksekutif tetap mencabar di usia remaja dan awal dewasa.
Walaupun siap di pertengahan usia 20an, bahagian hadapan otak itu memakan masa ebih lama untuk benar-benar matang. Prof Russell Barkley mengatakan bahawa ia memerlukan tempoh matang mencecah umur 40 tahun.
Individu ADHD mengalami ‘delay’ tumbesaran bahagian otak hadapan tersebut. Sama ada dirinya menunjukkan simptom ADHD yang hyperactive atau inattentive, kedua-duanya berpunca daripada gangguan yang sama di bahagian otak berkenaan.
Punca ADHD masih tidak dimuktamadkan. Namun ia amat dipengaruhi oleh genetik. Jika seseorang itu didiagnos sebagai individu ADHD, berkemungkinan besar beliau mewarisinya daripada ibu, bapa, atau kedua-duanya. Beliau juga berpotensi besar mewariskannya kepada zuriat.
#adhddewasa #adhdmalaysia #adhd