Listen

Description

Mengapa Pengajian Sarjana Kali Keenam Ini Berhasil?

Persoalan yang kerap diajukan kepada saya adalah bagaimana saya akhirnya berjaya menyelesaikan pengajian peringkat Sarjana pada percubaan keenam ini? Terdapat dua faktor utama yang menjadi pemangkin.

Pertama, faktor diagnosis perubatan dan pengambilan stimulan yang membantu pengurusan fokus saya.

Kedua, terdapat perubahan sistemik yang berlaku dalam sistem pendidikan kali ini yang belum pernah saya lalui sebelum ini.

Evolusi Pendidikan di Trinity College Dublin

Di Trinity College Dublin, saya mendaftar untuk pengajian sarjana pendidikan dalam bidang Pendidikan Khas. Namun, satu anjakan paradigma telah berlaku yang mana istilah “Pendidikan Khas” tidak lagi digunakan, sebaliknya telah digantikan dengan Pendidikan Inklusif.

Pendidikan inklusif bukan pendidikan khas. Falsafahnya berbeza, aplikasinya juga tidak sama. Manfaatnya pendidikan inklusif adalah lebih meluas mencakupi pelajar berkeperluan khas, serta seluruh komuniti pelajar di satu-satu institusi.

Seperti lazimnya dalam tradisi akademik, pada awal sesi kerja kursus, pensyarah memaklumkan bahawa setiap pelajar perlu menyiapkan tugasan esei sebanyak 3500 patah perkataan sebagai syarat penilaian. Walau bagaimanapun, keunikan program kali ini terletak pada penerapan modul Reka Bentuk Sejagat untuk Pembelajaran (Universal Design for Learning atau UDL) yang telah diintegrasikan ke dalam keseluruhan program di Fakulti Pendidikan, Trinity College Dublin.

Fleksibiliti dalam Penilaian (UDL)

Melalui pendekatan UDL ini, sekiranya penulisan esei secara konvensional bukan kaedah paling efisyen dan berkesan untuk membuktikan kefahaman pelajar, kami diberikan alternatif untuk menghantar tugasan dalam bentuk-bentuk lain yang kami pilih. Antaranya termasuklah pembentangan secara langsung, penghasilan video YouTube, atau rakaman audio siar (podcast).

Syarat utamanya tetap tegas: integriti akademik dan sistem rujukan (citation) mestilah dipelihara. Pelajar perlu meneroka sendiri secara kreatif bagaimanakah in-text citation yang lazim wujud di dalam esei bertulis, boleh diketengahkan andai pembentangan dibuat dalam bentuk lain.

Pihak universiti memberi keutamaan kepada penilaian kandungan dan kualiti hujah, bukannya terikat kepada format persembahan semata-mata. Itu kata-kata ringkas tetapi keramat di telinga saya semasa mendengar pensyarah menyebutnya.

Strategi Pengajian dan Proses Kreatif

Bagi saya yang kini berusia 50 tahun dan telah melalui fasa mencabar selama 20 tahun mencuba di peringkat pengajian Sarjana, peluang ini merupakan satu titik perubahan yang besar. Menulis esei secara tradisional merupakan satu tekanan yang hebat bagi saya, apatah lagi penulisan disertasi nanti.

Namun saya mempunyai kekuatan dalam melakukan pembentangan.

Dalam menyiapkan tugasan ini, saya telah menyusun gerak kerja teknikal yang teliti:

* Penyediaan Slaid dan Skrip: Saya menggunakan aplikasi Canva untuk mereka bentuk slaid dan merakam pembentangan tersebut secara langsung di dalam platform yang sama. Saya menyediakan skrip lengkap bagi setiap slaid yang diletakkan pada ruangan nota pembentang (presenter notes).

* Pemurnian Laras Bahasa: Skrip tersebut disemak menggunakan aplikasi Grammarly bagi memastikan intonasi dan laras bahasanya menepati standard esei akademik.

* Panduan Visual ChatGPT: Saya menggunakan ChatGPT untuk memadankan teks skrip dengan emoji tertentu. Emoji ini berfungsi sebagai panduan visual agar emosi dan penyampaian saya lebih terkawal serta konsisten semasa proses rakaman.

* Teknik Rakaman: Semasa merakam, saya sengaja berhenti seketika di antara ayat bagi mengelakkan penggunaan perkataan pengisi (filler words) seperti “err”, “umm”, dan sebagainya.

Proses Suntingan dan Automasi AI

Video mentah yang asalnya berdurasi sekitar 30 minit perlu disunting untuk mencapai sasaran 15 minit. Saya menggunakan perisian Wondershare Filmora yang dilengkapi teknologi AI. Fungsi pengesanan automatik dalam aplikasi ini membolehkan bahagian rakaman yang sepi (diam) dikesan dan dibuang secara automatik, sekali gus mempercepatkan proses suntingan dengan sangat efisien.

Penghantaran Tugasan dan Integriti Akademik

Setelah video siap, saya memuat naiknya ke saluran YouTube. Bagi tujuan penyerahan rasmi, saya menyediakan satu dokumen Microsoft Word yang mengandungi maklumat tugasan, pautan video YouTube tersebut, serta senarai rujukan yang lengkap. Dokumen ini kemudiannya dimuat naik ke sistem Turnitin universiti untuk semakan plagiarisme dan penilaian akhir.

Kesimpulan: Keindahan Pendidikan Inklusif

Melalui kaedah inovatif ini, iaitu bermula dengan pembentangan sebelum ditukarkan kepada format esei melalui transkripsi, saya berjaya menyelesaikan semua kerja kursus mengikut masa, dan berhasil mendapat keputusan Cemerlang (Distinction).

Satu fakta menarik yang perlu dikongsi, walaupun pilihan ini sangat membantu, hanya sekitar empat atau lima orang pelajar sahaja yang memilih kaedah ini. Selebihnya, iaitu kira-kira 40 orang pelajar lain, tetap lebih selesa menulis esei secara konvensional. Inilah intipati Pendidikan Inklusif yang sebenar; ia memberikan pilihan yang adil kepada semua mengikut kekuatan masing-masing tanpa meminggirkan piawaian akademik.

Hal ini selaras dengan kaedah fiqh, Ad-darar Yuzail, yang bermaksud “Kemudaratan (atau kesukaran) hendaklah dihilangkan.”

Paling utama, di dalam kerangka pendidikan inklusif, apabila pensyarah memberi fokus kepada menilai kandungan dan bukannya format, ia sudah pun menjadi sebuah transformasi besar sebuah pendidikan.

Fokus kepada aplikasi sebenar pendidikan dan apa yang sebenar-benarnya utama lagi bermakna.

Isi, bukan kulit!

Hasrizal Abdul Jamiladhddewasa.substack.com



Get full access to ADHD at adhddewasa.substack.com/subscribe